Perabot rotan pernah menjadi pilihan utama bagi ramai orang. Namun, arus pemodenan menjadikannya bukan lagi pilihan utama berbanding material lain seperti besi dan kayu.
Perniagaan Wai Kong yang terletak di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, beroperasi hampir setengah abad dan terus mempertahankan perabot rotan, di sebalik permintaan yang makin kecil.
Perabot-perabot di sini pada mulanya dihasilkan oleh pasangan suami isteri Chong Yan Yam dan Wong Chin secara tradisional.
Bagaimanapun, selepas kematian si suami akibat Covid-19 pada 2021, tinggallah Chin bersendirian meneruskan legasi perniagaan mereka.
Walaupun dia masih mempunyai pelanggan tetap, kebanyakannya adalah warga emas.
Dan bilangannya pula semakin berkurang.
Chin tabah menjalankan perniagaan itu bersendirian kerana anaknya tidak berminat dalam bidang pembuatan perabot rotan.