Permainan wau tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu dan popular di Pantai Timur ini menjadi hobi Tan Chin Seong, 36 bersama rakan-rakannya.
Aktiviti mengisi masa lapang itu dilakukan setiap petang di Taman Rekreasi Sungai Chua, Kajang.
Tan mula bermain wau seawal umur 10 tahun yang dipupuk oleh mendiang datuknya, Tan Eng Keat.
“Datuk saya bermain layang-layang bersama jiran berbangsa Melayu, seawal umur 10 tahun saya mula bermain dan belajar membuat wau sendiri,“ katanya.
Walaupun permainan tradisional ini seakan-akan tidak lagi mendapat sambutan daripada kalangan generasi muda, Tan berbangga dapat mewarisi kemahiran datuknya dalam menghasilkan wau.
Tan mengakui bahawa tidak ramai daripada kalangan masyarakat Cina mampu membuatnya.
Tan berkata hasil pembuatan wau mengambil masa dua hari bergantung pada saiz wau tersebut.
Sehingga kini, Tan telah menghasilkan lebih kurang 50 jenis wau tradisional.