thumbnails
thumbnails
thumbnails
thumbnails
thumbnails
 Back to homepage
mk-logo
KINILENS
Fenomena tengah hari tanpa bayang

Jika lazimnya orang berjalan di bawah terik matahari sambil mengukur atau membeza-bezakan panjang bayang-bayang yang tercetak di tanah, namun, tengah hari tadi, barangkali orang tercari-cari ke mana menghilangnya bayang-bayang sendiri.

Hari ini adalah fenomena tengah hari tanpa bayang yang berlaku di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama sekitarnya, seperti Shah Alam dan Putrajaya.

Fenomena ini terjadi akibat peristiwa Ekuinoks Isnin 21 Mac lalu, apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa, bermakna ia berada betul-betul di atas kepala orang yang berada di atas sepanjang khatulistiwa.

Ini menyebabkan bayang-bayang kepala dan badan ‘terjatuh’ ke tapak kaki, kelihatan seperti tiada bayang-bayang yang tercetak di lantai bumi pada waktu tengah hari.

Sementara kejadian itu telah berlaku di beberapa bandar lain pada 23 Mac - seperti Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak serta Kukup di Johor - banyak bandar di Lembah Klang pula pula mengalaminya hari ini, antaranya Kuala Lumpur dan Putrajaya pada jam 1:19 petang tadi dan Shah Alam pada jam 1:20 petang.

Ia akan diikuti di bandar-bandar lain pula sehinggalah 7 April, sebelum matahari semakin teranjak ke latitud-latitud lebih utara ke negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja.

“Saya ingin seluruh Keluarga Malaysia menghayati fenomena ini. Orang ramai digalakkan keluar rumah lebih awal untuk memerhatikan perubahan bayang-bayang sendiri atau bayang-bayang objek-objek lain di sekitar kawasan,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba.

Peristiwa Ekuinoks juga menandakan perubahan musim iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara bumi manakala di hemisfera selatan, bumi pula akan mula mengalami musim luruh.