ADS
mk-logo
Berita
600 banduan pulang beraya, Najib mungkin terkecuali
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 1:25 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Seramai 601 banduan dari 34 institusi penjara seluruh negara bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani, inisiatif Jabatan Penjara yang menekankan aspek pemulihan insani.

Bagaimanapun, terdapat alasan untuk mempercayai bekas perdana menteri, Najib Razak — yang sedang berusaha untuk menjalani tahanan di rumah — tidak termasuk senarai banduan yang dibebaskan secara lesen.

Jabatan Penjara memaklumkan mereka yang dibebaskan berusia antara 21 hingga 68 tahun. Najib pula bakal mencecah usia 72 tahun tahun ini.

Jabatan Penjara berkata mereka yang terpilih telah digelar sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) setelah memenuhi pelbagai kriteria ketat seperti tingkah laku baik, penglibatan aktif dalam program pemulihan, serta pertimbangan risiko keselamatan kepada masyarakat.

ADS

Pelaksanaan PBSL dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Penjara 1995, yang membenarkan pelepasan bersyarat kepada banduan bagi tempoh tertentu sebelum tarikh tamat hukuman sebenar.

“PBSL Ihsan Madani ini bertujuan memberi peluang kedua kepada banduan yang telah menunjukkan perubahan positif, selain memperkukuh ikatan kekeluargaan dan membantu proses integrasi semula ke dalam komuniti,” jelas jabatan penjara pada kenyataan hari ini.

Pelepasan ini juga bukan bersifat mutlak – banduan yang dibebaskan akan terus dipantau dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu oleh pihak penjara bagi memastikan pematuhan dan pencegahan pengulangan kesalahan.

Kerajaan telah giat melaksanakan pelepasan banduan secara lesen sejak tahun 2022, sebahagiannya bagi menangani isu kesesakan dalam penjara.

Najib kini sedang berdepan perbicaraan di mahkamah untuk dibenarkan menjalani tahanan di rumah — sesuatu yang telah diperkenan kepadanya melalui titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Titah tersebut merupakan tambahan (addendum) kepada perintah pengurangan hukuman penjara dan denda dalam kes SRC International — daripada 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada 6 tahun penjara dan RM50 juta.

Namun begitu, timbul persoalan tentang kesahan titah addendum itu memandangkan ia dikeluarkan di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.

32,268 bebas berlesen sejak 2020

Dalam pada itu, program PBSL bukanlah sesuatu yang baru, sejak diperkenalkan semula pada Oktober 2020, ia telah memberi peluang kepada ribuan banduan untuk kembali ke pangkuan keluarga secara bersyarat.

Menurut rekod Jabatan Penjara Malaysia, sehingga Mac 2024, seramai 32,268 prospek telah diberikan kelulusan untuk menyertai program ini.

PBSL juga dilihat sebagai satu pendekatan progresif dalam sistem pemulihan, memfokuskan kepada pengurangan kesesakan penjara, pengukuhan hubungan sosial, dan pengurangan kadar jenayah ulangan.

Sementara itu, Jabatan Penjara Malaysia juga menyeru masyarakat agar menerima bekas banduan dengan hati terbuka dan memberi sokongan terhadap proses pemulihan mereka, sejajar dengan nilai-nilai belas ihsan, keadilan dan keterangkuman yang diangkat dalam kerangka Malaysia Madani.

"Setiap individu berhak mendapat peluang untuk memperbaiki diri dan kembali berbakti kepada masyarakat.

"Ia juga merupakan salah satu usaha kami untuk menyokong pemulihan banduan secara holistik," kata jabatan penjara itu lagi pada kenyataan hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS