Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sekali lagi dikecam selepas memuji secara terbuka Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, pada 22 Mac lalu.
Kali ini kecaman terhadap Anwar diluahkan Bersatu Sabah.
Ketua penerangannya, Suhaimi Buang, berkata memang semasa majlis itu Anwar menyentuh masalah kemiskinan tegar, masalah jalan raya dan kemudahan asas lain, namun isu rasuah yang hangat diperkatakan tidak disebut langsung.
Sedangkan, kata Suhaimi, berdasarkan maklumat serta rakaman video yang tular, Hajiji terpalit dengan dakwaan skandal rasuah bersama lapan Adun dan seorang speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.
"Sejak Anwar menjadi perdana menteri, memerangi rasuah dikatakan menjadi matlamat utamanya.
"Tiba-tiba beliau menjadi bisu dan buta berhubung skandal rasuah Sabah, langsung tidak membangkitkan isu ini semasa berucap dalam majlis rasmi di Sabah pada hari Sabtu lalu.
"Paling mengecewakan sekali apabila perdana menteri secara terbuka berterima kasih kepada Hajiji - seorang ketua kerajaan negeri yang dikaitkan dengan skandal rasuah terbesar dalam sejarah Sabah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam sebuah NGO turut menyelar Anwar atas tindakannya memberikan penghargaan kepada Hajiji.
Menurut Sabah Entitlement & Equity Now (Seen), berkata tindakan perdana menteri itu bukan sahaja mengelirukan, malah seolah-olah merestui kegiatan rasuah yang dikaitkan dengan Hajiji.
"Anwar telah kehilangan prinsipnya serta melupakan bahawa tiada toleransi terhadap rasuah dan komitmennya memerangi rasuah.
"Saya berharap perdana menteri berhenti berpura-pura memerangi rasuah, orang ramai sudah muak melihat drama itu," kata Presiden Seen, Duncan Cheng, dalam kenyataan media.
Menurut Suhaimi, seluruh masyarakat Sabah nampak jelas tingkah laku dan prinsip talam dua muka Anwar dalam usahanya memerangi amalan rasuah.
"Peristiwa ini memberi gambaran kepada orang ramai bahawa sesiapa pemimpin politik yang berada dalam kem perdana menteri adalah tidak bersasalah serta tidak akan dihukum jika terlibat dengan kegiatan rasuah," katanya.