Dalam pendirian yang jarang-jarang berlaku, PAS hari ini menyatakan sokongan mereka kepada pendirian diambil perdana menteri, khusus melibatkan kontroversi tapak sebuah kuil yang terletak berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Malah Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menganggap pendirian diambil Anwar Ibrahim itu sebagai "tepat".
"Ini merupakan pendirian yang tepat dan perlu disokong. Mana-mana binaan haram di atas tanah pemilik yang lain sudah tentu tiada pilihan lain melainkan dirobohkan," katanya melalui Facebook hari ini.
Dia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berpendapat, pertikaian mengenai keberadaan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur itu bukanlah berkaitan isu agama sebaliknya undang-undang.
"Harapnya tidak timbul lagi isu seperti ini di masa akan datang. Salam Ramadan," katanya.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Anwar bertegas bahawa kontroversi tanah itu mesti dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang.
Dalam ucapannya pada sambutan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur pagi tadi, Anwar berkata kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu didirikan di atas sebidang tanah tanpa kebenaran pemiliknya sebelum ini mahupun sekarang.
Sambil berkata ia perlu dipindahkan, Anwar menegaskan bahawa kuil berkenaan bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.
“... Soal pembinaan masjid di tapak yang ada kuil yang tidak mendapat izin. Ada orang tak mahu sebut, bukan kuil haram, tak apalah istilah.
“Tapi kuil itu tidak dapat izin milik tanah dari tuan tanah, sama ada (tuan tanah) dulu DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau sekarangnya syarikat (yang memilikinya).
“Kita negara hukum. Negara hukum ini ikut hukum dan oleh kerana nak jaga hubungan antara kaum, kita lakukan sesuatu yang tidak semestinya perlu iaitu runding dengan baik kerana bagi mereka (penganut agama Hindu) itu tempat kepecayaan dan amalan agama harus dipindahkan dengan baik,” kata Anwar.