Kuil-kuil kecil yang dibina secara haram mungkin didirikan oleh pekerja binaan, kata Presiden Majlis Kuil Hindu dan Persatuan Hindu Malaysia (Mahima), N Sivakumar.
Dia memberitahu Malaysiakini amalan itu dilakukan bukan sahaja oleh pekerja Hindu, tetapi juga oleh mereka yang berketurunan Cina.
“Sebenarnya, kuil-kuil kecil ini dibina kerana sesetengah daripada mereka (pekerja) mungkin sedang menjalankan kerja pembinaan dan mereka hanya mahu meletakkan perlindungan daripada tuhan di situ.
“Kemudian, apabila pembinaan siap, mereka mungkin terlupa untuk memindahkannya,” katanya.

Perbincangan mengenai penempatan kuil dan tempat sembahyang secara haram timbul susulan pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Masjid India, Kuala Lumpur, yang akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani.
Struktur asal kuil itu dibina pada tahun 1893 di sebidang tanah berhampiran dan kekal di situ sehingga tahun 2008, apabila ia dipindahkan atas permintaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kuil tersebut dibina tanpa kebenaran dan perlu ditangani secara sah namun tetap memastikan pemindahan dilakukan secara hormat.
Jawatankuasa kuil sejak itu telah mencapai persetujuan dengan DBKL dan kuil tersebut akan dipindahkan ke lokasi yang berdekatan.

Kuil itu akan terus beroperasi sehingga kuil baru siap dibina, kata Timbalan Presiden MIC M Saravanan.
Sivakumar menjelaskan kuil-kuil lama dan lebih besar dahulu dibina oleh pekerja ladang pada awal sejarah negara ini, sebelum pembangunan bermula ketika kawasan itu masih diliputi hutan tebal.
Dengan pembukaan hutan dan pembangunan, kuil-kuil tersebut menurutnya menjadi kelihatan kepada umum.
“Saya tak tahu siapa yang patut dipersalahkan dalam hal ini,” katanya.

Pada masa itu, katanya tanah-tanah tersebut dikawal oleh pentadbiran British dan tidak jelas kepada para penganut kepada siapa mereka perlu memohon untuk mendirikan rumah ibadat.
“Sebab siapa pemilik kawasan itu sebelum negara ini merdeka?” katanya lagi.
Dia turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu pasukan khas khusus untuk mengurus isu ini.
Selain itu, katanya Mahima kini sedang dalam perancangan untuk menyediakan pelan induk pembinaan rumah ibadat Hindu.
Inisiatif ini bermula pada bulan Disember, dua bulan selepas dia dilantik sebagai presiden Mahima.
Pelan induk itu akan merangkumi pelbagai isu seperti cara mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), urusan permohonan dana, lokasi yang sesuai dan sebagainya.
Sivakumar berkata dia sedang menjelajah ke seluruh negara bagi berbincang dengan kuil-kuil sebelum menganjurkan satu persidangan khas mengenai hal ini.
Setakat ini, dia telah melawat Negeri Sembilan dan Pahang.
“Ia akan mengambil sekurang-kurangnya tiga hingga empat, lima bulan lagi untuk disiapkan.
“Kemudian selepas itu, barulah kami boleh mula bentangkan,” katanya.
Dia turut berkata harapannya agar pengeluaran panduan rasmi akan dapat mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.