Perdana Menteri Anwar Ibrahim membatalkan majlis sambutan Aidilfitri Madani peringkat Selangor, yang dijadual diadakan pada 6 April ini, bagi menghormati mangsa dan keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran akibat letupan paip gas di Putra Heights.
Perkara itu dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.
“Sehubungan itu, perdana menteri mengarahkan segala persiapan makanan yang telah dibuat harus diagihkan ke pusat-pusat pemindahan sementara yang terlibat, sekolah-sekolah dan asrama, rumah-rumah perlindungan warga emas dan anak yatim,” menurut kenyataan itu lagi.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengesahkan perkara itu dan berkata pembatalan tersebut telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta persetujuan Anwar.

Dia turut memaklumkan sebahagian makanan yang telah disediakan juga akan diagihkan kepada pasukan keselamatan.
“Mewakili seluruh warga kerajaan negeri, saya memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul susulan pembatalan ini demi menghormati mangsa dan keluarga yang terlibat dengan insiden di Putra Heights.
“Sekalung penghargaan buat seluruh pasukan petugas dan pelaksana majlis yang bertungkus lumus memastikan majlis ini boleh berjalan sebagaimana matlamat, namun saya sangat menghargai persefahaman bersama demi maslahah yang lebih utama.
“Semoga Allah memberkati segala usaha kita juga dalam bersolidariti membantu mangsa dan semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Amirudin sebelum ini memaklumkan 87 rumah dan premis diisytiharkan sebagai “musnah sepenuhnya” manakala 148 rumah lain masih dapat didiami selepas dibaiki.
Sehingga kini, sebanyak 20 agensi sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.