ADS
mk-logo
Berita
Lepas 5 hari angkat sumpah, Dr M panggil polis beri taklimat kes 1MDB - saksi

KES 1MDB | Seorang pegawai penyiasat bersara berkata Dr Mahathir Mohamad telah memanggil polis untuk satu taklimat mengenai siasatan 1MDB, lima hari selepas dia mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei 2018.

R Rajagopal berkata demikian ketika memberi keterangan perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion 1MDB terhadap Najib Razak di Mahkamah Tinggi Putrajaya hari ini.

Menurut Rajagopal yang merupakan saksi pembelaan, dia memberikan taklimat berkenaan status dan peringkat siasatan kes 1MDB kepada Mahathir dalam satu pertemuan di Yayasan Perdana.

Antara 2015 hingga 2018, Rajagopal menyiasat kes pecah amanah jenayah yang didakwa melibatkan lembaga pengarah dan pengurusan 1MDB, namun tidak menyiasat Najib. Perbicaraan 1MDB hanya melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap Najib.

"Selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, iaitu pada 15 Mei, saya diarahkan untuk memberikan taklimat kepada Mahathir dan saya telah pergi (ke Yayasan Perdana) bersama ketua polis negara ketika itu, Fuzi Harun dan (pengarah jabatan siasatan jenayah komersial) Amar Singh untuk memberikan pembentangan PowerPoint.

ADS

"(Ini berlaku) lima hari selepas Mahathir mengangkat sumpah pada 10 Mei. Saya memberi taklimat kepadanya (Mahathir) mengenai siasatan dan kami memaklumkan bahawa inilah yang telah kami lakukan di Malaysia dan dia hanya mengarahkan untuk melengkapkan pengumpulan bukti dari pihak berkuasa asing bagi melengkapkan siasatan.

"Semasa taklimat itu, saya mengetengahkan aduan DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) pada 2016 dan 2017 (mengenai dakwaan penyelewengan dana 1MDB) dan menunjukkan hasil daripada 1MDB yang antaranya masuk ke dalam akaun Najib," kata Rajagopal kepada timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.

Semasa pemeriksaan balas oleh Akram, saksi pembelaan yang disepina itu bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa arah tuju siasatan 1MDB berubah selepas PRU14 apabila Mahathir menggantikan Najib sebagai perdana menteri.

Akram bantah soalan Shafee

Apabila peguam Shafee Abdullah dalam pemeriksaan balas cuba untuk bertanya lebih lanjut mengenai pertemuan polis dengan Mahathir di Yayasan Perdana, Akram menyuarakan bantahan atas dasar ia tidak relevan dengan perbicaraan 1MDB.

Akram juga berkata soalan pihak pembelaan itu boleh dianggap bersifat skandal jika tidak relevan dengan perbicaraan.

Shafee membalas dengan berkata mahkamah sepatutnya membenarkannya mengajukan soalan lanjut kepada Rajagopal mengenai pertemuan itu kerana dia ingin membuktikan bahawa Najib semasa menjadi perdana menteri dari 2009 hingga 2018, tidak pernah memanggil polis untuk bertanya tentang siasatan 1MDB.

Katanya, soal balas itu penting untuk menangkis hujah pendakwaan bahawa hala tuju siasatan terhadap 1MDB berbeza selepas dia tidak lagi menjadi perdana menteri.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan Shafee meneruskan pemeriksaan balasnya.

Semasa disoal Shafee, Rajagopal berkata dia tidak ingat jika Mahathir pernah bertanya mengapa siasatan tidak berjalan dengan pantas semasa pentadbiran Najib.

Dia juga berkata yang dia merasakan Mahathir tidak berpuas hati dengan perjalanan siasatan polis, sambil menambah bahawa jika Mahathir tidak berpuas hati, dia sudah pasti telah diganti.

ADS

Dia juga berulang kali menjawab "tidak" apabila Shafee bertanya jika ada sesiapa dalam pertemuan tersebut mencadangkan mana-mana individu tertentu untuk didakwa berkaitan kes 1MDB.

Semasa taklimat itu, katanya lagi, dia memaklumkan kepada Mahathir bahawa polis perlu cuba mendapatkan bukti dari Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland.

Menurutnya, semasa taklimat dia menjelaskan polis masih belum mencadangkan mana-mana individu tertentu untuk didakwa kerana bukti transaksi 1MDB berada di luar negara, manakala keputusan berkaitan yang dibuat oleh lembaga pengarah adalah di Malaysia.

Kata Rajagopal lagi, selepas pertemuan di Yayasan Perdana, kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut dan dia telah membuat laporan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan, dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi memulakan siasatan.

Perbicaraan bersambung esok.

[baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS