ADS
mk-logo
Berita
Hilang paksa: Bekas SB anggap laporan pasukan petugas 'berat sebelah'

Seorang bekas pegawai kanan Cawangan Khas (SB) Bukit Aman hari ini menolak penemuan pasukan petugas khas (STF) kerajaan yang menyiasat kehilangan aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh sebagai "laporan berat sebelah".

Awaludin Jadid - yang sebelum ini menjadi ketua penolong pengarah di Bahagian Ekstremisme SB (E2) - mengkritik STF terbabit kerana tidak memanggil dia untuk untuk memberi keterangan.

“Saya tak pernah dipanggil untuk bagi keterangan, saya juga tak bersetuju dengan laporan petugas khas. Tolong rekodkan. Ia adalah laporan yang sangat berat sebelah,” katanya semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Awaludin yang bersara pada 2018 menjadi saksi dalam saman sivil yang difailkan oleh keluarga Koh terhadap kerajaan berhubung kehilangan secara paksa paderi itu pada Feb 2017.

Kenyataan Awaludin merujuk kepada laporan STF Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai kehilangan Amri dan Koh antara akhir 2016 dan awal 2017 yang menunjukkan pegawai polis bertindak tanpa arahan daripada pegawai atasan sebagai pihak bertanggungjawab.

ADS

Petikan laporan yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 telah dibacakan semasa prosiding awal pada Sept 2024.

“STF mendapati kehilangan Raymond Koh mungkin berpunca daripada tindakan secara langsung atau tidak langsung anggota polis yang tidak bertanggungjawab, yang bertindak sendiri secara individu atau berkumpulan.

“Mereka bertindak atas kehendak mereka sendiri, bersama-sama kumpulan agama luar.

“Bagaimanapun, ini hanya pandangan saya,” kata bekas petugas STF Zamri Yahya semasa memberi keterangan di hadapan hakim Su Tian Joo pada 26 Sept tahun lalu.

Zamri merupakan bekas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standart PDRM membacakan petikan daripada laporan itu.

Untuk rekod, penemuan STF tidak menyebut sama ada pegawai polis yang terbabit itu adalah dari SB atau pun dari Bukit Aman.

Pada 3 April 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyimpulkan bahawa Amri adalah mangsa kehilangan paksa. Dia merupakan seorang pendakwah dan pengikut Syiah dan dilaporkan hilang pada petang 24 Nov 2016 di Kangar, Perlis.

Selain polis dan kerajaan Malaysia, antara defendan lain dalam saman itu ialah menteri dalam negeri (yang tidak dinamakan), bekas Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Mohamad Fuzi Harun.

Perbicaraan disambung esok dengan peguam Jerald Gomez dijangka mengakhiri pemeriksaan balasnya terhadap Awaludin.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS