Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu termasuk seorang pempengaruh dan aktivis politik kerana memuat naik kandungan berunsur 3R (perkauman, agama, dan Institusi Diraja) di media sosial.
Dalam satu kenyataan, MCMC berkata sesi rakaman percakapan terhadap mereka dijalankan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya hari ini.
"Salah seorang daripada dua individu tersebut merupakan pempengaruh dan aktivis politik yang menimbulkan sentimen perkauman di media sosial melibatkan lagu kebesaran Negeri Perak, penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad, serta tentang pengambilalihan Menara Kuala Lumpur,” jelasnya.
Menurutnya, satu unit telefon bimbit dan kad sim milik salah seorang suspek telah disita bagi tujuan analisis forensik.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.
Sementara itu MCMC berkata pihak polis turut merampas telefon bimbit seorang lagi suspek bagi membantu siasatan atas kesalahan yang berlainan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah, dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini," katanya.

Sebelum ini, aktivis pro-PN, Syarul Ema Rena Abu Samah, yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga, memuat naik sebuah video yang mendakwa pelajar sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Teluk Intan menyanyikan Negaraku dalam bahasa Cina. Rakaman itu juga menunjukkan kehadiran seorang pemimpin DAP pada majlis tersebut.
Bagaimanapun pelajar terbabit dikatakan sebenarnya menyanyikan lagu negeri Perak “Allah Lanjutkan Usia Sultan”, yang mempunyai melodi yang serupa dengan lagu kebangsaan “Negaraku”, semasa acara pada bulan Jun tahun lalu.
Syarul Ema kemudian “memohon maaf” dan mendakwa dia telah memadamkan video tersebut dalam tempoh 10 minit selepas ia dimuat naik di media sosial. Sebaliknya dia menyalahkan laskar siber PH kerana memuat turun video itu dan menjadikannya tular
Syarul juga berkata dia hanya menegaskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan kepada sesiapa yang mengubah lagu kebangsaan dan bukan mempersoalkan lagu negeri Perak.
Semalam seorang pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh membuat laporan polis terhadap Syarul Ema.
