ADS
mk-logo
Berita
ULASAN | Reformasi AG dan pendakwa raya: Kajian tidak boleh jadi alasan

Salah satu kelemahan struktur paling ketara dalam sistem perundangan Malaysia ialah penggabungan dua kuasa besar: Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan, dan dalam masa yang sama, Pendakwa Raya yang memegang kuasa penuh untuk memulakan atau menghentikan pendakwaan jenayah.

Penyatuan dua peranan ini bukan sekadar isu teknikal perundangan. Ia menyentuh asas keadilan yang bebas dan tidak berpihak. Apabila kuasa mendakwa dan kepentingan kerajaan bertembung dalam satu tangan, ia mencetuskan persoalan serius tentang integriti proses keadilan.

Ini bukan persoalan individu, tetapi soal sistem. Rakyat tidak meminta kesempurnaan, tetapi mereka berhak menuntut sistem yang adil, telus dan boleh dipercayai.

Realitinya, terlalu banyak bergantung kepada budi bicara seorang Peguam Negara. Dilantik oleh kerajaan, beliau bertanggungjawab kepada eksekutif dan dalam masa yang sama memegang kuasa untuk menentukan siapa yang didakwa dan siapa yang tidak. Ini membuka ruang kepada persepsi, atau kemungkinan sebenar, berlakunya campur tangan politik dalam proses keadilan jenayah.

ADS

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, telah menyatakan bahawa kerajaan sedang menjalankan kajian menyeluruh mengenai pemisahan fungsi ini. Kajian tersebut dikatakan memberi tumpuan kepada perlindungan institusi dalam pelantikan dan pemecatan Pendakwa Raya serta mekanisme semak dan imbang.

Namun persoalan yang timbul ialah sampai bila kajian ini akan berterusan. Apakah hala tuju yang jelas sedang digerakkan. Kajian demi kajian telah disebut sejak bertahun-tahun. Rakyat berhak mengetahui hasilnya, garis masa pelaksanaannya dan bentuk reformasi yang akan diperkenalkan. Reformasi institusi tidak boleh terus berada dalam fasa retorik.

Malaysia tidak bermula dari sifar dalam perkara ini. Banyak negara lain telah lebih awal melaksanakan pemisahan kuasa pendakwaan daripada pejabat penasihat undang-undang kerajaan. Mereka memahami bahawa persepsi terhadap keadilan adalah sama pentingnya dengan keadilan itu sendiri. Kita boleh belajar daripada pendekatan mereka yang terbukti berkesan, dengan penyesuaian mengikut realiti perundangan dan politik tempatan.

Pendakwa raya perlu berfungsi sebagai institusi bebas yang dilindungi oleh perlembagaan. Bebas daripada pengaruh politik. Bebas daripada sebarang kuasa eksekutif. Hanya dengan pengasingan yang jelas dan menyeluruh, kita dapat memastikan pendakwaan dilakukan berdasarkan undang-undang, bukti dan kepentingan awam. Bukan atas pertimbangan politik atau peribadi.

ADS

Ini bukan sekadar soal perundangan. Ini soal prinsip. Soal kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan. Soal generasi akan datang yang mewarisi sistem yang kita bina hari ini. Setiap kelewatan membawa risiko. Risiko penyalahgunaan kuasa, risiko persepsi pilih kasih, dan risiko keruntuhan keyakinan awam terhadap institusi undang-undang.

Parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi perlu menjadi pentas untuk menetapkan hala tuju yang tegas. Masa untuk mengkaji telah berlalu. Masa untuk bertindak telah tiba.

Tanpa ketelusan dan struktur yang jelas, keadilan akan terus kekal sebagai janji yang belum ditepati.


MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS