ADS
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PANDUANKINI l Kebakaran di Putra Heights: Apa kita tahu setakat ini?

PANDUANKINI l Hari kedua Aidilfitri semalam dikejut dan digemparkan dengan berita mengenai letupan dan kebakaran saluran paip gas di kawasan perumahan Putra Heights di Puchong, Selangor.

Saksi melaporkan mereka melihat api yang marak menjulang beberapa meter tinggi dari jarak beberapa kilometer jauhnya.

Di sebalik nahas itu, setelah berjam-jam, api akhirnya berjaya dipadamkan dan mujur tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan setakat ini.

Dalam siri Panduankini kali ini, Malaysiakini akan memberikan gambaran ringkas tentang apa yang kami ketahui setakat ini mengenai kebakaran itu.

ADS

Bilakah ia berlaku?

Petronas, yang memiliki saluran paip itu, berkata kebakaran berlaku pada 8.10 pagi pada 1 April. Bagaimanapun, garis masa daripada video kamera yang merakamkan detik letupan menunjukkan ia mungkin berlaku lebih awal, iaitu pada 8.08 pagi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor pada awalnya memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada jam 8.23 pagi, tetapi meminda semula masa berkenaan kepada 8.10 pagi dalam kemas kini kemudian.

Di mana lokasi kejadian?

ADS

Lokasi kebakaran adalah berhampiran Jalan Putra Harmoni 1/3 dan 1/4, di Putra Heights, Puchong.

Ia terletak di sepanjang saluran paip gas yang membahagikan Taman Harmoni di timur dan Kampung Kuala Sungai Baru di barat.

Imej di Google Earth dan Google Streetview menunjukkan laluan saluran paip gas itu merentangi sebuah padang rumput kosong yang dipagar dan ditandakan dengan deretan tanda amaran kuning, selain daripada jalan raya dan lebuh raya yang melintasi saluran paip.

Paip itu berada di bawah tanah, dengan kebakaran dilaporkan akibat kebocoran dari bahagian paip sepanjang 500m.

Bagaimanakah anggota bomba memadamkan api?

Anggota bomba pertama tiba pada jam 8.22 pagi, dengan lebih ramai tiba kemudian sehingga jumlah yang dikerahkan adalah 78 anggota. Jentera yang dikerahkan termasuk 10 kereta bomba, empat pasukan tindak balas kecemasan, lima lori tangki air, alat bantuan pernafasan dan platform tangga udara.

Secara keseluruhan, terdapat 325 kakitangan daripada 11 agensi.

Dalam usaha untuk memadamkan kebakaran itu, Petronas dilaporkan telah menutup empat injap bermula jam 8.46 pagi. Injap terakhir ditutup pada 11.48 pagi.

ADS

Laporan berbeza tentang kedudukan injap, dengan satu laporan menyatakan ia terletak di Dengkil, Puchong, Batu Tiga, dan Meru. Laporan lain berkata ia terletak di Kampung Lombong Puchong, Batu Tiga, Shah Alam dan Klang.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Nor Hisham Mohamad berkata bahawa Petronas juga telah menutup bekalan gas dari saluran paip - satu proses yang dilaporkan mengambil masa kira-kira empat jam untuk melepaskan gas sepenuhnya.

Anggota bomba turut berusaha mengeluarkan penduduk dari kawasan sekitar dan mengelak api daripada merebak.

Api berjaya dipadamkan pada jam 3.45 petang.

Berapa teruk kebakaran itu?

Setakat ini, dilaporkan 305 orang terjejas termasuk 104 yang menerima rawatan di pelbagai hospital awam dan swasta.

Mujur, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, dan semua mangsa berada dalam keadaan stabil, walaupun Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata ada yang mengalami kesan melecur tahap kedua atau ketiga.

Dari segi kerosakan harta benda, Hisham dilaporkan berkata 237 rumah terjejas. Ini termasuk 78 rumah dan 10 kedai - yang 10 hingga 90 peratus terbakar.

Selain itu, 275 kereta dan 56 motosikal musnah.

Sementara itu, Bernama memetik saksi yang mendakwa melihat api menjulang dari jarak enam kilometer dari kejadian di Kampung Seri Aman, Puchong.

Pasir dan kerikil, dipercayai akibat letupan, turut menghujani kawasan itu.

Sharmaine Pan, 33, yang berdepan pengalaman mengerikan itu berkata turut kedengaran bunyi aneh seperti gegaran.

“Kami sedang tidur dan dengar bunyi pelik. Kami buka tingkap untuk melihat apa yang berlaku dan tingkap bergegar. Kemudian lihat api marak di kawasan berdekatan.

“Kami turun ke bawah dan berasa seolah-olah ada yang tidak kena. Jadi kami buat keputusan keluar untuk selamatkan diri,” katanya yang dipetik oleh Bernama.

Sharmaine melecur tahap pertama hampir tujuh peratus pada kedua-dua betis serta luka akibat terjatuh ketika melarikan diri.

Kawasan seluas kira-kira 290 meter persegi meliputi Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru telah dikepung sehingga disahkan selamat pada hari-hari mendatang.

Apa yang sedang dilakukan untuk mangsa?

Sejurus kebakaran itu, mangsa dilaporkan dibawa ke Kuil Sri Maha Kaliamman dan Surau Nurul Iman berhampiran untuk rawatan awal.

Mereka kemudiannya dipindahkan ke hospital di Serdang, Cyberjaya, dan Putrajaya.

Beberapa masjid turut dibuka untuk memberi perlindungan kepada mangsa termasuk Masjid Al Falah USJ 9 dan Masjid Putra Heights.

Perlu diingat setakat malam tadi hanya terdapat dua pusat pemindahan sementara iaitu Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya, manakala bantuan sebanyak RM2,500 akan disalurkan kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak.

Bantuan tambahan masih dibincangkan antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Petronas.

Anwar menambah, ia mungkin mengambil masa setahun atau lebih untuk membaiki rumah yang rosak. Namun, katanya, tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan berkenaan akan diambil sepenuhnya oleh kerajaan bersama Petronas dan kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menggesa semua mangsa mendaftarkan diri dan keluarga mereka dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri di pusat pemindahan sementara di Masjid Putra Heights bagi memastikan mereka menerima bantuan.

Sementara itu, Persatuan Haiwan Malaysia berkata ia menawarkan perkhidmatan penjagaan haiwan peliharaan secara percuma sehingga 8 April untuk mangsa.

Khidmat itu melibatkan haiwan-haiwan kecil seperti kucing, arnab, burung, hamster, landak kecil dan musang peliharaan.

Apa yang menyebabkan kebakaran?

Punca kebakaran masih disiasat, dengan Amirudin dilaporkan berkata bahawa laporan awal perlu disediakan dalam tempoh 72 jam.

Terdapat juga spekulasi yang mendakwa bahawa kebocoran gas dan kebakaran itu adalah disebabkan oleh kerja-kerja mengorek di tanah rizab Petronas.

Bagaimanapun, Bernama memetik Hisham sebagai berkata masih terlalu awal untuk menentukan punca kebakaran.

Amirudin menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Petronas akan menjalankan pemeriksaan untuk menentukan punca kebakaran, termasuk dakwaan bahawa ia berpunca hasil daripada kerja-kerja mengorek tanah.

“Kita terima semua maklumat termasuk dakwaan berlakunya kerja korek tanah di situ sehingga menyebabkan kebakaran.

“Kita akan siasat semua itu dan jika benar ada berlaku, kita nak tahu siapa yang melakukan kerja-kerja mengorek itu,” katanya

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS