Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan, menjadi pemimpin parti terbaru yang menawarkan diri sebagai calon naib presiden bagi pemilihan parti yang akan datang.
Dalam satu kenyataan, Sathia berkata dia membuat keputusan untuk bertanding selepas mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan serta pemimpin parti lain, selain mengadakan perbincangan dengan cabang PKR Hulu Selangor, di mana dia merupakan ketua.
Sathia yang merupakan seorang doktor dan ahli perniagaan berkata dia berhasrat membantu PKR menarik sokongan pengundi muda dan golongan profesional sekiranya dia terpilih sebagai naib presiden parti itu.
"Saya akan memastikan suara akar umbi parti didengar dengan lebih baik dalam proses membuat keputusan parti serta memastikan setiap ahli parti mendapat peluang untuk menyumbang kepada parti.
"Saya juga mahu memastikan PKR bukan sekadar menjadi anggota dalam satu gabungan, tetapi menjadi parti yang menerajui pembangunan di Malaysia dengan dasar yang lebih kukuh serta mampu menambat hati seluruh rakyat," katanya.
Sathia turut mengumumkan bahawa dia telah meletak jawatan sebagai Pengarah Kongres Nasional PKR 2025 bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
"Saya percaya kepimpinan parti boleh melantik individu lain yang sesuai untuk memikul tanggungjawab ini," tambahnya.
Majlis Pimpinan Pusat PKR mempunyai sembilan jawatan naib presiden, di mana empat daripadanya dipilih melalui pemilihan parti, manakala tiga lagi dilantik oleh presiden selepas pemilihan berlangsung.
Dua lagi jawatan naib presiden adalah secara ex-officio untuk ketua sayap Pemuda dan Wanita parti.
Sathia merupakan ahli parti kelapan yang mengumumkan pencalonannya bagi jawatan kepimpinan kanan ini.
Menurut laporan berita sebelum ini, lima penyandang jawatan ituh menyatakan hasrat untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai naib presiden, iaitu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, serta Nurul Izzah Anwar.
Dua lagi penyandang jawatan, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy dan bekas Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari, masih belum menyatakan sama ada mereka akan bertanding semula untuk mempertahankan jawatan tersebut.