ADS
mk-logo
Berita
Bekas pengendali Menara KL lega tak diusir di malam Syawal

Bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Hydroshoppe Sdn Bhd, meluahkan rasa syukur kerana tidak diusir seperti yang dirisaukan syarikat itu siang tadi.

Pengarah Urusan Hydroshoppe, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh pada sidang media malam ini berkata perkara itu berjaya dielakkan hasil pendedahan media susulan kenyataan awal yang dikeluarkan syarikat berkenaan.

“Hari ini, kami bukan sahaja memperjuangkan hak kami, tetapi juga hak semua usahawan Bumiputera yang kerap kali dianaktirikan di tanah air sendiri,” katanya memberitahu wartawan di hadapan pintu masuk utama Menara KL.

Pun begitu dia tidak menjawab sebarang soalan atas nasihat peguam syarikat.

ADS

Abdul Hamid juga tidak menjelaskan secara terperinci mengapa syarikat beranggapan mereka akan diusir malam ini.

"Hari ini bukanlah hari yang biasa. Hari ini adalah Hari Raya Aidilfitri, hari yang sepatutnya kita raikan dengan penuh kegembiraan bersama keluarga dan insan tersayang.

"Namun, dalam kesyukuran menyambut Syawal, hati kami luluh apabila pada awalnya menerima maklumat bahawa kami akan diusir secara paksa walaupun pada hari pertama Aidilfitri," dakwanya.

Terdahulu, Hydroshoppe dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), menyuarakan kebimbangan mereka bahawa polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak mengusir mereka tepat tengah malam ini dan menyifatkan tindakan itu sebagai “penyalahgunaan kuasa.”

ADS

Mereka turut menegaskan tindakan tersebut akan bercanggah dengan prosiding mahkamah yang masih berjalan.

Hydroshoppe melalui MKLSB telah dilantik untuk mengendalikan mercu tanda ikonik ibu negara itu pada tahun 2022 namun mendakwa kerajaan telah menamatkan perjanjian secara tidak sah pada November tahun yang sama.

Kerajaan kemudiannya menganugerahkan konsesi kepada LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) pada Mei tahun lalu, iaitu satu usaha sama antara dua syarikat — LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.

Hydroshoppe dan MKLSB telah mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan pemegang konsesi baru itu, menuntut ganti rugi sebanyak RM1 bilion serta pengisytiharan mahkamah bahawa perjanjian 2022 masih sah dan mengikat.

Mereka turut memohon agar mahkamah mengesahkan bahawa mereka masih berhak kepada konsesi selama 30 tahun bermula 31 Disember 2022, dan mendakwa kerajaan telah melanggar amanah dengan menganugerahkan konsesi tersebut kepada entiti lain.

‘Kami urus Menara KL sejak awal’

Dalam pada itu, Abdul Hamid mendakwa Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi, serta kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menganugerahkan konsesi selama 15 tahun kepada Hydroshoppe dan MKLSB bermula 31 Disember 2024.

Selain itu, UKAS, Kementerian Komunikasi, kerajaan, Hydroshoppe, dan MKLSB didakwa turut bersetuju untuk melanjutkan perjanjian tersebut kepada tempoh 30 tahun sehingga 31 Disember 2054.

"Ini adalah bukti bahawa kami memperoleh hak pengurusan ini secara sah, tanpa sebarang penyelewengan atau syak wasangka. Kami telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan dan menjalankan tanggungjawab kami dengan penuh amanah.

"Dakwaan bahawa kami tidak berpengalaman dan merupakan syarikat baharu adalah satu fitnah kerana MKLSB telah menguruskan operasi Menara Kuala Lumpur sejak ia didirikan, lebih daripada 30 tahun yang lalu,” kata syarikat itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS