Persatuan Hindu Sangam Malaysia mengumumkan akan mengadakan dialog awam atau mesyuarat ‘town hall’ dengan kuil-kuil di seluruh negara, menurut satu catatan di akaun Facebooknya.
Pertemuan itu susulan perpindahan kuil kontroversi untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid, dan dijadual berlangsung di Brickfields, Kuala Lumpur, pada 6 April, bermula jam 8 pagi hingga 3 petang.
Pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia 130 tahun di Jalan Masjid India baru-baru ini telah mencetuskan reaksi polarisasi, dengan sesetengah pengguna media sosial mempersoalkan status undang-undang mengenai kuil-kuil Hindu di negara ini.
Kumpulan Facebook juga diwujudkan untuk melaporkan kuil-kuil seumpama itu.
BACA LANJUT: PANDUANKINI l Menyorot isu pindah kuil Hindu di tengah KL
Sebagai tindak balas, peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, termasuk bekas presiden Badan Peguam, Ambiga Sreenevasan dan N Surendran, mengeluarkan penjelasan yang menyatakan bahawa kuil berkenaan tidak menyalahi undang-undang.

Mereka juga menafikan dakwaan bahawa kuil itu adalah "haram" atau menceroboh, dan kini diberi pampasan tanah walaupun tindakan tersebut adalah “salah sendiri”.
‘Pendaftaran seluruh negara’
Di laman Facebook Hindu Sangam, satu komen mencadangkan agar MHS menjalankan pendaftaran di seluruh negara untuk mengenal pasti dan mendokumentasikan semua kuil Hindu.
"Bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan hak milik tanah dan mewartakan kuil. Bangunkan sistem pemetaan digital untuk mengesan status undang-undang dan kepentingan sejarah kuil.

"Dokumentasi sejarah adalah penting dalam perkara ini, kerana tidak akan ada ruang untuk orang lain mempersoalkan kepentingan sejarah kuil. Pendaftaran ini mesti telus kepada semua penganut Hindu," petik komen itu.
Komen itu juga menggesa supaya lebih banyak bengkel dan seminar diadakan untuk mendidik jawatankuasa kuil mengenai undang-undang tanah, proses pewartaan, tadbir urus dan pematuhan.
Semalam, Timbalan Pengerusi Urimai David Marshel mendedahkan bahawa beberapa individu tertentu tampil melabelkan beberapa kuil sebagai "haram" di Peta Google dan menuntut tindakan diambil kerana “ucapan kebencian” itu.
"Ini bukan sahaja menyinggung perasaan tetapi juga adalah penghinaan langsung kepada masyarakat Hindu di Malaysia. Banyak kuil ini telah wujud selama lebih 50 tahun, terutamanya di estet dan kawasan pinggir bandar tempat buruh India tinggal dan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Melabelkan mereka sebagai 'haram' adalah satu tindakan yang tidak menghormati dan diskriminasi," katanya.