Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh mempertahankan keputusan kementerian itu memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang bagi pelajar sekolah, dengan menyatakan langkah itu bertujuan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan, serta tidak seharusnya dianggap sekadar simbolik semata-mata.
Menjawab kritikan orang ramai, Wong mengakui kebimbangan yang disuarakan ibu bapa dan pelbagai pihak, termasuk isu kos tambahan, aspek praktikal, dan risiko keselamatan. Namun, dia memberi jaminan bahawa langkah itu telah dikaji dengan teliti.
“Pada awalnya, ada ibu bapa yang bimbang bahawa ini akan menjadi kos tambahan kepada keluarga. Kementerian memahami perkara ini, sebab itulah setiap pelajar akan diberikan dua lencana bendera negara secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan bahasa Cina di Facebooknya semalam.
Dia turut mengulas mengenai penggunaan dua lencana seperti yang dibangkitkan, terutamanya bagi pelajar yang memakai lebih daripada satu jenis pakaian seragam sekolah.
“Lencana yang diberikan adalah jenis pin, bukan tampalan jahit. Ini membolehkan ia digunakan dengan mudah, satu untuk pemakaian harian dan satu lagi sebagai gantian,” jelas Wong.
Berkenaan isu keselamatan, khususnya risiko kecederaan semasa aktiviti sukan, Wong berkongsi pandangan peribadinya.
“Saya bertanya kepada anak perempuan saya, yang telah memakai lencana pengawas selama dua tahun, sama ada dia pernah cedera akibatnya.
“Jawapannya tidak. Jika dia pernah cedera, saya pasti lebih risau daripada orang lain,” katanya.
Menurut pekeliling kementerian yang dikeluarkan dua hari lalu, semua pelajar di institusi di bawah Kementerian Pendidikan diwajibkan memakai lencana bendera negara bermula 21 April.
Pekeliling itu juga menyatakan bahawa garis panduan pemakaian lencana itu telah diluluskan oleh kabinet pada 14 Februari.
Peraturan itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru (IPG), manakala institusi pendidikan lain digalakkan untuk mengamalkannya.

Sementara itu, MCA menggesa Kementerian Pendidikan mendedahkan secara terbuka nama syarikat yang terlibat dalam proses tender lencana bendera negara bagi pakaian seragam sekolah.
Pupuk patriotisme melebihi simbolisme
Salah satu kritikan utama terhadap langkah itu ialah sama ada pemakaian lencana bendera benar-benar dapat menanam semangat patriotisme dalam kalangan pelajar atau sekadar satu tindakan simbolik.
Mengulas perkara itu, Wong mengakui wujud pelbagai pandangan tetapi menegaskan bahawa usaha simbolik seperti itu boleh wujud seiring dengan pendekatan pendidikan yang lebih bermakna.
“Isu yang paling kerap dibahaskan ialah sama ada pemakaian lencana bendera benar-benar dapat menanamkan patriotisme atau membuatkan kanak-kanak lebih menyayangi negara mereka. Ramai yang mengkritiknya sebagai tindakan simbolik semata-mata.
“Ada yang mencadangkan agar kementerian lebih tumpukan usaha untuk integrasikan patriotisme dan perpaduan negara dalam silibus pendidikan bagi memupuk identiti kebangsaan yang lebih mendalam.
“Adakah Kementerian Pendidikan tiada perkara lain yang lebih penting untuk dilakukan? Sudah tentu tidak,” katanya.
Dia berkata, walaupun wajar untuk mempersoalkan keberkesanan langkah itu, namun kepentingannya tidak boleh ditolak bulat-bulat.
Wong menegaskan usaha memupuk semangat patriotisme melalui pendidikan bukanlah sesuatu yang bersifat ‘zero-sum game’ di mana pendidikan dan pemakaian lencana sekolah boleh wujud seiring.