ADS
mk-logo
Berita
Dana Mitra: Wanita mengaku tak bersalah beri kenyataan bercanggah

Seorang wanita semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan memberikan keterangan bercanggah kepada SPRM.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan keterangan itu berkaitan siasatan membabitkan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

V Meenaloshini, 35, didakwa membuat satu akuan bersumpah kepada seorang pesuruhjaya sumpah di sebuah premis di Prima Sri Gombak, Selangor pada 20 Dis 2023, yang bercanggah dan tidak selaras dengan keterangan yang telah diberikan kepada pegawai SPRM di ibu pejabat agensi antirasuah itu di Putrajaya pada 24 dan 25 Jan 2022.

“Kenyataan dalam akaun bersumpah itu menyebut bahawa tertuduh berurusan secara langsung dengan kontraktor-kontraktor yang membuat tuntutan bayaran dana Mitra dan tidak pernah berurusan dengan seorang individu berkaitan hal itu. 

“Namun dalam kenyataan kepada pegawai SPRM, tertuduh menyatakan pembayaran kepada setiap kontraktor akan dibuat secara terus oleh individu itu sama ada melalui cek, pindahan secara dalam talian atau tunai,” menurut kenyataan itu.

ADS

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan Meenaloshini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 April ini.

ADS

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaidi manakala tertuduh diwakili peguam K Kanagavalli. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS