Polis Pahang mengenal pasti 40 ‘lokasi panas’ kemalangan serta 27 lokasi yang dijangka berlaku kesesakan lalu lintas di negeri itu sempena cuti Aidilfitri tahun ini.
Semua lokasi itu, kata Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, dikenal pasti melalui analisis lalu lintas yang dilaksanakan ketika musim perayaan sama pada tahun lalu.
Kata Yahaya, sebanyak 1.37 juta kenderaan dijangka memasuki Pahang melalui Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mulai esok.
"Unjuran jumlah kenderaan ini dibuat berdasarkan statistik tahun lalu yang menyaksikan sehingga 1.10 juta kenderaan menggunakan KLK dan LPT.
"Beberapa laluan masuk ke Pahang dijangka mula sesak awal pagi atau petang esok," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan program High Profile Policing di Terminal Sentral Kuantan di Kuantan, Pahang, petang tadi.
Mengulas mengenai daerah paling banyak lokasi kemalangan terutamanya melibatkan maut, Yahaya memberitahu, daerah Maran mempunyai tujuh lokasi berisiko berlaku kemalangan.
Katanya, antara laluan itu adalah Kilometer (KM) 27 hingga KM 47 Jalan Temerloh - Bandar Jengka; KM 100 hingga 102 Jalan Kuantan - Kuala Lumpur; dan KM 27 hingga KM 35 Jalan Pekan Tajau - Bandar Jengka.
"Bagi daerah paling banyak lokasi kemungkinan berlaku kesesakan lalu lintas ketika musim cuti Aidilfitri kali ini, daerah Temerloh memiliki empat lokasi hotspot, diikuti daerah Kuantan tiga.
"Untuk Temerloh laluan di KM 7 Jalan Temerloh - Jerantut; KM 120 Jalan Kuantan - KL; KM 117 berhampiran lampu isyarat Sekolah Kebangsaan Paya Pulai dan KM 26 Jalan Jerantut - Temerloh.
"Di Kuantan pula laluan sesak yang sudah dikenal pasti adalah Jalan Mahkota, Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Sekilau - Tun Ismail," ujarnya.
Daerah lain yang turut dikenal pasti mempunyai tiga lokasi diramal berlaku kesesakan pula adalah Raub, Lipis dan Cameron Highlands.
Yahaya turut menasihatkan pengguna jalan raya, termasuk pemandu bas dan kenderaan berat untuk kekal fokus dan berhati-hati bagi mengelak sebarang kemalangan atau kejadian tidak diingini.
Katanya, peluang cuti Aidilfitri ini sepatutnya digunakan untuk sampai ke destinasi dengan selamat.