Datin Seri Rosmah Mansor diberi kebenaran untuk memasukkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia sebagai pihak ketiga dalam saman USD14.57 juta difailkan terhadapnya oleh Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Lubnan, berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk P Ravinthran, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu hari ini selepas membenarkan rayuan Rosmah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei tahun lepas yang menolak permohonannya.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Choo berkata Rosmah, yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah membuktikan kes prima facie untuk diberikan kebenaran mengeluarkan notis pihak ketiga.
Beliau berkata pihak ketiga yang dicadangkan mempunyai kewajipan statutori dalam menjaga dan mengawal barang kemas terbabit di bawah Seksyen 413(5) Kanun Tatacara Jenayah sekali gus mewujudkan kaitan antara Rosmah dan kedua-duanya.
“Sekiranya pihak ketiga yang dicadangkan didapati melanggar kewajipan statutori mereka, Rosmah boleh memohon ganti rugi daripada mereka,” katanya.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman itu mendakwa Rosmah telah berbohong dengan mengatakan bahawa 44 barang kemas termasuk rantai berlian, gelang dan tiara yang dihantar kepadanya oleh ejen syarikat itu telah disita oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.
Global Royalty juga mendakwa isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Menerusi permohonannya untuk memulakan prosiding itu terhadap kerajaan dan polis, Rosmah mendakwa barang kemas yang dipertikai tiada dalam milikan beliau kerana telah disita oleh pihak berkuasa.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 29 Mei sebagai pengurusan kes untuk menentukan tarikh perbicaraan.
Pada prosiding hari ini, peguam Rajivan Nambiar dan Nur Aiman Sharizal mewakili Rosmah manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Nur Ezdiani Roleb serta Peguam Persekutuan Syafiq Affandy Hasan hadir bagi pihak kerajaan dan polis.
Peguam Venothani Rajagopal pula mewakili Global Royalty.
- Bernama