Seorang wanita warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di George Town hari ini, atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap dua remaja pada Februari lepas.
Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Mandarin.
Suri rumah itu didakwa memandu motokar jenis Honda Jazz di bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan dia tidak terdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya, sehingga menyebabkan kematian Thomas Ch’ng Kai Hen, 18.
Pendakwaan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000.
Wanita itu juga didakwa memandu kenderaan sama di atas jalan raya di bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan tidak terdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya sehingga menyebabkan kecederaan seorang lagi remaja Ooi Qi Heng, 18.
Nguyen didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000), yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih daripada RM50,000.
Wanita itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Jalan Jelutong, pada 19 Feb kira-kira 9.48 malam.
Timbalan Pendakwa Raya M. Darrshini menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon tertuduh dikenakan syarat tambahan dengan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah untuk disimpan, serta lesen memandunya digantung sementara sehingga sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam K Mahendran memohon mahkamah mengurangkan jaminan berikutan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan hanya ditanggung suaminya yang merupakan penjaja dengan pendapatan RM3,000 sebulan, selain turut mempunyai tiga anak berumur satu tahun hingga 16 tahun.
Prosiding turut disertai peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa Andy Ooi dan RSN Rayer sebagai amicus curiae atau sahabat mahkamah.
Rayer memohon mahkamah agar tidak memberi jaminan terhadap tertuduh berikutan ia merupakan kes melibatkan kepentingan awam, kerana telah mengakibatkan kematian dan kecederaan mangsa yang masing-masing berusia 18 tahun.
“Kedua-dua mangsa merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kepentingan awam perlu diambil kira iaitu kedua-dua mangsa merupakan warga tempatan. Saya mohon agar jaminan tidak ditawarkan kerana tertuduh merupakan warga asing,” katanya.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi kemudiannya menetapkan tertuduh dijamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga Malaysia, manakala lesen dan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain turut diarahkan untuk melapor diri di balai polis setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 April depan untuk serahan dokumen.
- Bernama