ADS
mk-logo
Berita
Menteri nafi dakwaan kuil dapat pampasan RM2 juta
Diterbitkan:  Mar 26, 2025 5:45 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaliha Mustafa menyangkal dakwaan pendakwah bebas Firdaus Wong yang kerajaan memberikan pampasan berjumlah RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Masjid India, Kuala Lumpur.

“Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas.

“Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan.

“Malah, tiada sebarang perjanjian atau deal lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah saya umumkan secara rasmi semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ADS

Selepas perbahasan hangat selama beberapa hari, jawatankuasa kuil yang berusia 130 tahun itu setuju untuk berpindah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid di tanah milik Jakel Trading Sdn Bhd tersebut.

Zaliha menegaskan keputusan “menang-menang” dicapai menerusi perbincangan dengan semua pihak terlibat.

“Paling utama, pembinaan masjid yang telah tertangguh sejak 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula setuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti,” katanya lagi.

Dia juga berkata kes tersebut tidak boleh dijadikan sebagai rujukan untuk mana-mana kes seumpamanya di masa akan datang.

ADS

“Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak.

“Saya menggesa semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini.

“Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya lagi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan DBKL setuju untuk memindahkan kuil itu ke lokasi baru, kira-kira 50 meter dari tapak sekarang.

Tapak baru itu berkeluasan 4,000 kaki persegi dan akan diwartakan untuk kuil tersebut secara kekal.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS