ADS
mk-logo
Berita
Salahnya cuma jual belon untuk sesuap nasi, keluh Muhyiddin
Diterbitkan:  Mar 29, 2025 2:45 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa sedih dengan insiden membabitkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan peniaga belon di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, insiden terbabit tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

"Saya menonton video mengenai seorang penjaja belon dipercayai telah dikasari oleh pihak penguatkuasa yang viral di media sosial. Saya berasa sedih melihat insiden ini lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Tidak wajar kekasaran sebegitu rupa digunakan ke atas seorang penjaja tepi jalan yang kesalahannya hanyalah menjual belon," katanya dalam kenyataan.

ADS

Muhyiddin berkata demikian mengulas video tular melibatkan seorang penjaja belon yang dikasari penguat kuasa DBKL malam tadi.

Terdahulu, DBKL mendakwa insiden kekasaran itu bermula apabila peniaga tanpa lesen–rang dirujuk sebagai “Abang Belon” di media sosial–menolak penguat kuasa dan tidak mengendahkan arahan beredar kerana mengganggu lalu-lintas.

Sementara itu, anggota Parlimen Pagoh berkata sudah menjadi kebiasaan setiap kali menjelang musim perayaan, ramai peniaga kecil cuba mencari rezeki. 

Tambahan pula katanya, dalam keadaan tekanan kos sara hidup dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, inilah masanya untuk mereka menambah sedikit pendapatan.

ADS

Justeru, Muhyiddin berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih prihatin, peka dan berhemah dalam menangani isu melibatkan penjaja kecil ini.

"Cubalah cari jalan untuk memudahkan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki di musim-musim perayaan tertentu. Lesen-lesen sementara boleh dikeluarkan untuk membolehkan mereka berniaga di tempat-tempat tertentu untuk suatu tempoh yang terhad," katanya.

Jelas Muhyiddin, semasa pentadbiran PN, Kementerian Wilayah Persekutuan melaksanakan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga melalui lesen sementara.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.

"Konsep yang sama boleh digunakan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat yang sedang dihimpit oleh kenaikan kos sara hidup pada masa ini. Dengan adanya kebenaran berniaga secara sementara ini, bolehlah rakyat menambah pendapatan untuk menyara hidup.

"Yang penting ialah sikap prihatin kerajaan dalam membantu rakyat," katanya.

Jalan TAR terkenal sebagai pusat beli belah jalanan popular di ibu kota

Tegas Muhyiddin, bila kerajaan prihatin, langkah-langkah tentu boleh diambil untuk memenuhi keperluan rakyat tanpa perlu mereka melanggar undang-undang untuk mencari rezeki sesuap nasi.

"Saya berharap insiden malang seperti ini tidak berulang lagi," tambahnya.

Kejadian malam tadi turut menerima kritikan keras Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim yang menyifatkan tindakan penguat kuasa itu sebagai keji dan biadab.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS