Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berdoa supaya Allah mengambil tindakan terhadap pihak yang zalim.
Doa itu dititipkan bersama video seorang penjaja belon terlibat dalam pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menjelang tengah malam pada Jumaat.
“Ya Allah! Dalam kemuliaan Ramadan ini, kami memohon kepada-Mu, Engkau ambillah tindakan-Mu ke atas mereka yang zalim.
“Mereka membiarkan apa yang jelas salah, tapi mereka berkeras kepada hamba-hamba-Mu yang lemah. Engkau berikan rezeki yang banyak kepada hamba-Mu yang kesusahan ini,” tulisnya.
Asri menulis komen itu ketika berkongsi semula video asal dari Facebook pemimpin pembangkang Shahidan Kassim.
Video itu dirakam pembantu Shahidan yang melawat penjaja asal Pahang itu ketika dia mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.
Terdahulu tular video pergelutan penjaja itu dan pegawai DBKL di tepi jalan di ibu negara. Suasana kecoh dengan kemarahan peniaga lain serta orang ramai yang lalu-lalang.

DBKL mendakwa insiden bermula apabila penjaja belon itu menolak penguat kuasa dan tidak mengendahkan arahan beredar kerana mengganggu lalu-lintas.
DBKL mendakwa penguatkuasanya cuma mahu “menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa”.
Penjaja itu menafikan dia telah dihalau beberapa kali sebelum tindakan diambil.
“Tidak sama sekali. Tidak betul. Saya nak jumpa mereka pun saya takut,” katanya kepada seorang pegawai pemimpin pembangkang Shahidan Kassim.
‘Perlukah lanyak sampai begitu?’
Sementara itu, dalam ulasan lain awal pagi tadi, Asri mengakui tiada siapa yang boleh melanggar undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, terdapat budi bicara dalam penguatkuasaannya.
“Perlukah lanyak sehingga sedemikian cara?” soalnya tanpa menyebut kes penjaja belon itu secara khusus.

Katanya, pesalah boleh disaman atau dibawa ke mahkamah.
Asri mengingatkan penyokong kerajaan terhadap peristiwa Arab Spring yang dicetuskan oleh insiden melibatkan peniaga kecil.
“Mereka jangan lupa bahawa kejatuhan kerajaan-kerajaan Arab dalam Arab Spring bermula dengan seorang peniaga kecil di Tunisia yang memprotes kezaliman ke atas dirinya apabila kereta sorong miliknya dirampas oleh penguatkuasa tempatan.
“Bantahannya telah mencetuskan kebangkitan besar. Belajar dari sejarah, jangan lupa diri,” katanya.