Peniaga belon di ibu kota yang terlibat dalam pergelutan dengan penguat kuasa tampil menjelaskan keadaan dan versinya tentang apa yang berlaku.
Dia muncul dalam video yang dirakam oleh pihak Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh serta pemimpin pembangkang Shahidan Kassim.
Suaranya putus-putus dan nadanya sebak ketika menceritakan apa yang berlaku terhadapnya.
“Patah tulang belakang, tok,” katanya dalam perbualan video dengan Akmal.
Bagaimanapun terdapat pihak lain dalam video itu yang mencelah bahawa dia mungkin mengalami patah tulang pinggang.
Terdahulu, DBKL mendakwa insiden kekasaran itu bermula apabila peniaga tanpa lesen–yang dirujuk sebagai “Abang Belon” di media sosial–menolak penguat kuasa dan tidak mengendahkan arahan beredar kerana mengganggu lalu-lintas.
DBKL mendakwa penguatkuasanya cuma mahu “menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa”.
‘Nak jumpa mereka pun takut’
Sementara itu, bercakap dengan pegawai Shahidan, ketika pertemuan selepas x-ray, dia ditanya sama ada benar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menghalaunya beberapa kali sebelum kejadian.
“Tidak sama sekali. Tidak betul. Saya nak jumpa mereka pun saya takut.

“Kalau saya jumpa mereka barang saya kena rampas sebab saya meniaga tak berlesan. Saya nak mohon lesen saya tak tahu prosedur macam mana,” katanya.
Pemuda itu juga berkata dia berasal dari Jerantut, Pahang, mempunyai masalah kesihatan angin pasang serta mempunyai adik yang masih belajar.
“Meniaga saja yang saya boleh sebab saya memang minat meniaga,” katanya.
Pegawai Shahidan itu memberitahu akan membantu lelaki itu mendapatkan lesen manakala Akmal pula berkata akan berjuang mendapatkan keadilan untuknya.
Pelbagai pihak tampil mengecam pengendalian DBKL itu termasuk pemimpin politik kerajaan dan pembangkang serta Mufti Perlis Asri Zainul Abidin.