ADS
mk-logo
Berita
Kes saman fitnah RM100 juta Synergy ke atas Shahrir Samad selesai
Diterbitkan:  Mar 26, 2025 2:35 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan sebuah syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd terhadap bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Ab Samad berhubung isu tanah agensi itu selesai di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam.

Penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes saman itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir selepas Shahrir dan pemilik bersama Synergy Promenade, Datuk Abdul Rahman Soltan bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama. Tiada perintah mengenai kos dikeluarkan.

Shahrir dalam kenyataan bersama berkata beliau tidak pernah berniat untuk menjejaskan integriti profesional, tingkah laku serta kejujuran Synergy Promenade serta pengarahnya berkaitan projek Kuala Lumpur Vertical City (projek KLVC).

"Selain itu, saya menerima dan mengesahkan memorandum persefahaman (MOU) bertarikh 15 Jan 2018 adalah sah, mempunyai kesahan yang kukuh dan tidak terjejas oleh sebarang faktor yang boleh membatalkannya.

"Saya juga menerima dan mengesahkan transaksi berkaitan pemindahan tanah Felda di bawah perjanjian jual beli dan surat kuasa wakil serta pemindahan semula kepada Felda di bawah MOU, adalah telus, sah, dan bebas daripada sebarang faktor yang boleh membatalkannya," kata Shahrir.

ADS

Sementara itu, peguam Amrit Pal Singh yang mewakili Synergy Promenade ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai penyelesaian itu dan memaklumkan syarikat terbabit menarik balik tuntutan saman terhadap Shahrir dan Felda.

"Bagaimanapun, saman fitnah yang dikemukakan Synergy Promenade terhadap New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) masih diteruskan," katanya.

Pada 4 Jun 2018, Synergy Promenade selaku plaintif menyaman Shahrir, yang ketika itu Pengerusi Felda berhubung dakwaan mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media masa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

ADS

Syarikat itu mendakwa kenyataan itu telah menyebabkan reputasi plaintif tercalar selain mengakibatkan syarikat berkenaan kehilangan projek yang sedang diusahakan.

Plaintif memohon mahkamah mengeluarkan satu perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan terbabit serta ganti rugi RM100 juta, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS