Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis mercun bernilai lebih RM106 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, membabitkan 60 kes dan 68 tangkapan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata setakat 23 Mac, rampasan terbesar direkodkan menerusi operasi di Zon Bebas Cukai dan kawasan di bawah Perintah Sekatan Kastam (WCB/PSK) berjumlah RM48,522,220 melibatkan lima kes.
Ia diikuti dengan rampasan oleh Pasukan Gerakan Am (RM31,748,936 daripada 32 kes), Pasukan Polis Marin (RM24,665,846 daripada 20 kes) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (RM1,146,879 daripada tiga kes).
"Antara mercun diseludup ialah Happy Boom Cake, Happy Boom Cracker 8 inci dan Happy Boom Assorted Celebration Red Fire Cracker, Happy Boom Assorted Celebration Red Fire Cracker Repeater dan Happy Boom Shoot Cake.
"Permintaan mercun jenis ini tinggi pada musim perayaan berikutan kesukaran mendapatkannya di pasaran tempatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Razarudin berkata pelbagai modus operandi digunakan bagi menyeludup masuk mercun berkenaan, termasuk menggunakan laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand terutamanya Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam, selain turut menggunakan kenderaan persendirian seperti lori kargo atau bas ekspres dengan barangan itu disorok di celahan barang.
Beliau berkata sindiket tersebut juga menggunakan bot kecil atau kapal kargo membawa barangan import, dengan mercun disembunyikan dalam kontena bersama barang dagangan lain.
"Maklumat mendapati ada mercun dibawa melalui jalan laut menggunakan kapal kontena ke pelabuhan di Sarawak, dengan kontena itu mempunyai dokumen kastam yang sah dan turut menyenaraikan jenis mercun dibenarkan penjualannya, tetapi pada masa sama, membawa mercun dilarang," katanya.
Razarudin berkata mercun berkenaan juga dibawa masuk melalui pelabuhan dan dihantar ke negeri Pantai Timur menggunakan lori dalam kuantiti banyak berdasarkan permintaan, dengan terdapat premis diberikan lesen menjual mercun dikesan turut menjual jenis mercun yang tiada dalam senarai dibenarkan.
Beliau berkata sindiket juga didapati menggunakan orang tengah termasuk warga asing atau individu biasa melakukan perjalanan keluar masuk sempadan negara sebagai 'keldai' membawa mercun dalam jumlah kecil tetapi kerap, bagi mengurangkan risiko dikesan, sebelum dikumpulkan di sebuah tempat untuk dijual.
Razarudin berkata mereka juga menggunakan platform media sosial, aplikasi e-dagang dan pesanan segera untuk menjual mercun secara rahsia dengan transaksi dilakukan dalam talian sebelum penghantaran dibuat melalui pos atau secara peribadi.
"Siasatan mendapati ada sindiket menyimpan mercun di rumah sewa, gudang atau kawasan terpencil sebelum diedarkan dan lokasi terlibat sering berubah untuk mengelak serbuan pihak berkuasa," katanya.
Razarudin berkata modus operandi terbabit menunjukkan penyeludupan mercun melibatkan jaringan terancang, dan usaha membanteras kegiatan itu perlu melibatkan pemantauan ketat di sempadan, risikan siber dan kerjasama komuniti.
Beliau juga menggalakkan orang ramai beralih kepada aktiviti alternatif seperti pertunjukan cahaya, permainan tradisional atau majlis kekeluargaan berbanding bermain mercun yang tidak dibenarkan kerana bukan sahaja membahayakan diri, tetapi menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
"Peranan ibu bapa amat penting dalam memantau anak-anak serta mendidik mereka tentang bahaya mercun," katanya yang turut menyarankan pelaksanaan kempen kesedaran secara berterusan di kawasan tumpuan seperti sekolah dan masjid serta media sosial.
- Bernama