ADS
story images
story images
mk-logo
Berita
Larangan pamer produk rokok mulai 1 April, lebih 51,000 kedai terlibat

Lebih 51,000 kedai terlibat dalam larangan pameran produk merokok di kaunter jualan bermula 1 April ini, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini berikutan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bersama-sama peraturan dan perintah yang berkaitan di bawahnya mulai 1 Okt lepas.

KKM dalam kenyataan semalam memaklumkan larangan pameran produk merokok di kaunter jualan itu di bawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.

"Sejak penguatkuasaan Akta 852, KKM sentiasa memastikan setiap peraturan dipatuhi mengikut tempoh yang ditetapkan, termasuklah melalui pendidikan dan advokasi yang dijalankan secara berterusan," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Bagi memastikan pematuhan terhadap kawalan yang ditetapkan, KKM memaklumkan pendekatan penguatkuasaan secara berfasa yang berhemah, berhikmah dan berkesan telah ditetapkan.

ADS

“Penguatkuasaan yang dirancang itu telah dibahagikan kepada penguatkuasaan serta merta dan berfasa.

"Selain itu, mengambil kira keberkesanan dan kesesuaian pelaksanaan di beberapa negara lain, kaedah yang dianggap paling sesuai bagi pelaksanaan larangan pameran ini adalah dengan menyediakan almari bertutup berbanding penggunaan kain atau kanvas," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan perkara itu sangat penting bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan yang boleh memberi ruang kepada aktiviti promosi secara tidak langsung yang bertentangan dengan semangat dan maksud larangan pameran tersebut.

ADS

Justeru, KKM memaklumkan akan terus bekerjasama dengan pekedai untuk memastikan pemasangan almari bertutup dibuat mengikut spesifikasi, dan pematuhannya dipantau rapat dari semasa ke semasa.

Menurut kenyataan itu, proses tersebut dijangka selesai sepenuhnya menjelang 1 Okt ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS