Kastam India merampas ganja bernilai kira-kira INR51,000,000 (RM2.64 juta) daripada seorang penumpang penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur.
Penumpang tersebut telah ditahan dan siasatan masih dijalankan, menurut Suruhanjaya Kastam (Pencegahan) Tiruchirappalli dalam hantaran di X.
"Berdasarkan maklumat risikan yang khusus, pegawai unit risikan pusat (CIU), Tiruchirappalli telah menemukan dan merampas 5.155kg ganja hidroponik yang dianggarkan bernilai Rs 5.1 crore, yang disembunyikan dalam bagasi daftar masuk seorang penumpang," kata pihak berkuasa itu.

Awal bulan ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegur Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung peningkatan kes penyeludupan hidupan liar keluar dari Malaysia.
Loke berata ia merupakan isu serius yang perlu ditangani segera oleh pengendali lapangan terbang itu.
Bagasi daftar masuk berada di bawah bidang kuasa perkhidmatan pengendalian bagasi MAHB dan bukan Jabatan Kastam.
Hari ini, Bernama melaporkan Jabatan Kastam di KLIA telah menggagalkan tujuh cubaan penyeludupan dengan anggaran nilai RM1.86 juta dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Kes-kes itu melibatkan ganja dan methamphetamine.
Pada Disember lalu, Bernama turut melaporkan Jabatan Kastam pada 2024 telah menumpaskan 135 cubaan penyeludupan dadah melalui pengangkutan udara, sama ada masuk atau keluar negara.
Jabatan itu juga mengumumkan tambahan 66 mesin pengimbas di seluruh negara serta 20 lagi anjing pengesan.