ADS
mk-logo
Berita
‘PH perlu sambut baik PAS gesa penyokong tukar alamat mengundi di Selangor’
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 5:01 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Pemuda PKR Selangor berpandangan PH seharusnya menyambut baik seruan agar penyokong pembangkang yang bermastautin di Selangor untuk menukar alamat mengundi mereka ke negeri itu.

Malah Pengarah Komunikasi PKR Selangor Mohd Fauzi Fadzil menyifatkan seruan yang disuarakan Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri itu sebagai sabotaj terhadap PAS Kelantan dalam usaha mempertahankan kemenangan di negeri itu pada PRU akan datang.

"Seharusnya cadangan pesuruhjaya PAS Selangor itu disambut dengan tangan terbuka oleh kepimpinan PH terutamanya di negeri Kelantan. 

"Mantan pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob pernah mengakui sokongan pengundi luar menjadi faktor utama kejayaan PAS mengekalkan pentadbirannya di Kelantan pada PRU14.

ADS

"Strategi yang sama turut digunakan bagi menghadapi PRU15 apabila PN Kelantan menyediakan sebanyak 400 bas kepada 8,000 perantau untuk pulang mengundi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 13 Mac lalu, Ab Halim menyuarakan harapan agar penyokong yang bermastautin di negeri itu dapat berdaftar sebagai pengundi di Selangor dalam usaha meraih kemenangan di negeri itu pada PRU akan datang.

Ab Halim Tamuri (dua dari kanan)

Dia berkata harapan itu khususnya bagi penduduk Selangor yang berasal dari negeri-negeri yang ditadbir PAS, seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Seminggu kemudian, PAS Selangor dilaporkan mula menggerakkan usaha mereka "meningkatkan jumlah pengundi Melayu" atas alasan untuk menyeimbangkan demografi politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Sabirin Marsono berkata penduduk yang telah lama bermastautin di negeri itu dan membayar cukai, bekerja, serta menikmati perkhidmatan disediakan kerajaan perlu diberikan ruang dan suara yang jelas dalam menentukan masa depan sendiri.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata strategi pesuruhjaya PAS Selangor itu akhirnya akan mengurangkan jumlah pengundi di Kelantan.

Dia memetik data Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff bahawa jumlah pengundi Kelantan yang bekerja atau belajar di luar negeri adalah adalam dalam lingkungan 150,000 orang. 

Terdahulu, seruan Ab Halim dikritik Naib Pengerusi PH Selangor Azli Yusof yang menyifatkannya sebagai PAS Selangor dalam keadaan terdesak kerana tiada sokongan yang mencukup di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS