ADS
mk-logo
Berita
Ambiga tampil ‘betulkan fakta’ isu kuil di KL
Diterbitkan:  Mar 29, 2025 11:21 AM
Dikemaskini: 3:32 AM

Peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Seri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur tampil “membetulkan fakta” berkenaan isu tanah di sepanjang Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.  

Ambiga Sreenevasan dan N Surendran berkata dakwaan terhadap kuil itu masih dibuat walaupun upacara pecah tanah Masjid Madani baru-baru ini menandakan isu isu sudah selesai.

Mereka berkata tuduhan-tuduhan tersebut memberikan gambaran yang salah tentang status dan hak undang-undang kuil itu. 

Berikut penjelasan Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam dan Surendran, pengasas bersama kumpulan peguam Lawyers for Liberty:

Kuil itu haram?

ADS

(i) Ini jelas salah dan mengabaikan latar belakang sejarah serta keadaan sebenar kuil di lokasi tersebut. Kuil ini dibina lama sebelum Merdeka dan kekal di lokasi yang hampir sama, walaupun beberapa pembinaan semula dilakukan pada 2008 atas arahan DBKL untuk membuka jalan akses. 

Pengubahsuaian besar-besaran itu dilaksanakan dengan pengetahuan dan persetujuan DBKL, yang membuktikan bahawa kuil ini tidak pernah haram, malah sentiasa diiktiraf pihak berkuasa sebagai sah.  

(ii) Selain itu, memandangkan sejarahnya, kedudukan undang-undang tidak semudah atau semberono seperti yang digambarkan. Apabila Jakel membeli tanah itu pada 2014, ia tertakluk kepada hak kuil yang sudah lama wujud di situ. Inilah sebabnya kami sebelum ini meminta perjanjian jual beli antara Jakel dan DBKL didedahkan. 

ADS

Dari segi undang-undang, kuil ini mempunyai hak yang diperoleh melalui prinsip equity dan estoppel (prinsip keadilan undang-undang yang menghalang pihak daripada menafikan hak sedia ada). Oleh itu, salah sama sekali untuk mendakwa kuil ini tidak sah atau mempunyai hak yang lebih rendah berbanding pemilik tanah baru yang hanya muncul 10 tahun lalu. 

Jika perkara ini dibawa ke mahkamah, isu-isu undang-undang ini serta isu bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan undang-undang lain akan dibentang dan dipertahankan dengan tegas bagi pihak kuil.  

(iii) Mahkamah juga akan menyemak Perjanjian Jual Beli Jakel untuk menyelesaikan pertindihan hak dan kepentingan. Pemeriksaan seumpama ini pernah dilakukan dalam kes penting Taman Rimba, apabila Mahkamah Persekutuan meneliti sejarah kes dan mendapati penglibatan Datuk Bandar dalam penjualan tanah kepada pembeli, kemudian memberikan perintah pembangunan kepada pembeli yang sama, merupakan konflik kepentingan. 

Isu serupa mungkin timbul dalam kes ini jika ia dibawa ke mahkamah, menunjukkan kedudukan undang-undangnya lebih kompleks daripada yang digambarkan dan menimbulkan persoalan serius.  

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS