ADS
mk-logo
Berita
Chegubard dakwa Zamri dibebas ‘tak sampai 24 jam’ walau direman 2 hari
Diterbitkan:  Mar 28, 2025 10:44 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Pendakwah bebas Zamri Vinoth dikatakan telah dibebaskan dari tahanan polis “tak sampai 24 jam” selepas pihak polis memperoleh perintah reman selama dua hari terhadapnya.

Menurut Ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin, yang juga dikenali sebagai Chegubard, Zamri dibebaskan berikutan “tekanan luar biasa” daripada orang ramai.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Badrul berkata Zamri dibenarkan keluar sebelum sembahyang Jumaat tengah hari tadi, dan memaklumkan sembilan peguam hadir secara pro bono (percuma) semasa permohonan reman dibuat oleh polis di mahkamah.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Zamri enggan memberikan sebarang komen.

Malaysiakini juga telah menghubungi pihak polis dan masih menunggu maklum balas.

ADS

Zamri, 41, ditahan di Kangar, Perlis, semalam di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan perintah reman terhadap Zamri telah dikeluarkan oleh majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar sekitar jam 9.30 pagi hari ini.

Razarudin turut menyatakan polis telah menerima laporan daripada seorang individu pada jam 6.30 petang sehari sebelum penahanan dibuat.

ADS

Zamri disiasat berhubung hantaran Facebooknya mengenai pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur, dengan remannya bertujuan membantu siasatan berhubung dakwaan menghina agama dan mengganggu ketenteraman awam.

Kontroversi tercetus selepas berita mengenai rancangan merobohkan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di tanah milik syarikat Jakel bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.

Jawatankuasa kuil kemudian mengesahkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memindahkan struktur kuil ke lokasi baru yang terletak kira-kira 50 meter dari tapak asal di Jalan Munshi Abdullah, berhampiran Jalan Masjid India.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS