ADS
mk-logo
Berita
14,000 penjawat awam Terengganu dapat 'duit raya Madani' RM500
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 4:39 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Lebih 14,000 penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) berjumlah RM500 seorang, hasil persetujuan Kerajaan Madani untuk menyalurkan bantuan tersebut.

Ini meskipun Terengganu kini merupakan salah satu kubu kuat pembangkang yang ditadbir PN.

Pengumuman itu dibuat susulan lawatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim ke Terengganu pada 21 Mac lalu.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kewangan, bantuan itu akan disalurkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi membantu para penjawat awam negeri menampung perbelanjaan sempena ketibaan Syawal.

ADS

"BKKA sebanyak RM500 ini akan memanfaatkan lebih 14,000 penjawat awam Negeri Terengganu dan akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi menyerikan persiapan menyambut lebaran," jelas kenyataan tersebut.

Langkah itu dilihat sebagai satu pendekatan berjiwa besar oleh kerajaan persekutuan pimpinan Anwar, yang menegaskan komitmen terhadap prinsip kesaksamaan dan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira sempadan politik.

Kerajaan Madani turut menegaskan pendekatan berasaskan nilai kemanusiaan perlu diteruskan bagi memastikan kemakmuran negara dirasai secara menyeluruh, seiring dengan kerangka Ekonomi Madani melalui agenda “Menaikkan Lantai”.

“Semoga sumbangan ini membawa sedikit kegembiraan kepada mereka yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi,” menurut kenyataan itu lagi.

ADS

Kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM1.836 bilion sebagai Perbelanjaan pembangunan di Terengganu bagi tahun ini.

Gambar fail, Anwar bersama Dr Ahmad Samsuri.

Anwar Ibrahim menjelaskan perbelanjaan di bawah Belanjawan 2025 itu meningkat berbanding yang telah diperuntukkan pada 2024 iaitu sebanyak RM1.597 bilion.

“Peruntukan ini menunjukkan terdapat pertambahan sebanyak RM239 juta berbanding peruntukan tahun 2024,” katanya.

Anwar mengumumkan demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Terengganu yang turut dihadiri Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan kepimpinan negeri, di pekarangan Masjid Sultan Ahmad di Chukai, Kemaman pada 22 Mac lalu.

Anwar berkata berdasarkan data Sistem MyProjek setakat 10 Mac lepas, sebanyak 432 projek telah diluluskan di Terengganu.

Selain itu, perdana menteri berkata sebanyak 1,363 projek di seluruh negara telah siap dengan kos keseluruhan RM60.10 bilion dan daripada jumlah itu, 83 adalah di Terengganu yang menelan belanja RM1.826 bilion. 

Anwar juga berkata kerajaan telah memperuntukkan RM2.243 bilion bagi pelbagai projek tebatan banjir dan pemuliharaan muara sungai atau hakisan pantai di Terengganu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS