ADS
mk-logo
Berita
AMH cabar PN umum tokoh calon MB Perak, PM
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 2:37 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

PRK AYER KUNING | Angkatan Muda Harapan (AMH) hari ini mencabar PN agar menjelaskan siapakah calon perdana menteri dan Menteri Besar Perak yang dirasakan layak diangkat dari parti gabungan itu.

Ketua AMH, Woo Kah Leong, berkata cabaran itu dibuat sekiranya PN benar-benar berhasrat untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dan Perak.

Katanya, pada masa sama kerajaan perpaduan sudah berjaya menampilkan tokoh dan kepimpinan yang jelas serta bertanggungjawab iaitu, Saarani Mohamad.

Di bawah kepemimpinan Saarani, kata Woo, kerajaan negeri ditadbir tanpa sebarang skandal rasuah.

ADS

“Beliau juga telah membuktikan komitmen terhadap anak muda dengan melantik pemimpin muda ke dalam pentadbiran, termasuk saya sendiri sebagai exco termuda dalam sejarah Perak.

"Ini menunjukkan kerajaan perpaduan bukan sahaja stabil tetapi juga memberi peluang kepada generasi muda untuk berperanan dalam pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut cubaan PN untuk merampas kerajaan melalui pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning akan datang, Woo berkata ini bukan sahaja mengancam kestabilan politik tetapi juga menggugat kesejahteraan rakyat.

“Kestabilan politik amat penting dalam memastikan pentadbiran yang lancar, pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan kesejahteraan rakyat terjamin.

“Oleh itu, AMH menyeru pengundi untuk menolak sebarang usaha yang boleh membawa ketidaktentuan politik dan memastikan kemenangan calon perpaduan bagi mengekalkan kestabilan negeri Perak,” katanya.

Pemimpin terpalit isu fitnah

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Feb lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam yang juga Ketua Umno Tapah sejak 2018 memenangi kerusi DUN berkenaan pada PRU ke-15 dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Woo berkata menjelang PRK tersebut AMH telah mencapai konsensus untuk menyokong sepenuhnya calon perpaduan yang akan diketengahkan oleh BN.

“Tidak kira siapa calon yang akan diumumkan, AMH akan memberikan sokongan penuh dan menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan calon perpaduan.

“Sepertimana BN telah membantu PH dalam PRK sebelum ini, termasuk di Pulai, Kuala Kubu Bharu, dan Mahkota, kini tiba masa AMH membalas kepercayaan tersebut dengan memastikan kemenangan calon perpaduan di Ayer Kuning, sekali gus memperkukuh kestabilan politik negara,” katanya.

Saarani Mohamad

Woo berkata AMH turut menolak sekeras-kerasnya politik fitnah yang didakwa sering menjadi taktik utama PN, khususnya di Perak.

ADS

“Ketua Pembangkang Perak sebelum ini telah terpalit dengan pelbagai kes fitnah, termasuk diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Budaya politik tidak beretika ini perlu dihentikan dan AMH menyeru seluruh pengundi agar memilih kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti untuk memacu negeri ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu sebagai langkah strategik bagi memastikan kemenangan calon kerajaan perpaduan di PRK Ayer Kuning, Woo berkata, AMH telah melantik Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib sebagai Pengarah Rilihan Raya AMH.

AMH Perak

Khairul turut akan dibantu oleh Ketua Pemuda PKR Perak, Zaim Sidqi Zulkifly, serta Ketua DAPSY Perak, Wong Kar Keat.

“Satu jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan bagi menggerakkan kempen secara menyeluruh di lapangan dan di media sosial, memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat maklumat yang jelas mengenai calon perpaduan dan hala tuju kerajaan perpaduan,”katanya.

Tambah Woo lagi, AMH menyeru seluruh pengundi, terutamanya anak muda dan perantau di DUN Ayer Kuning untuk pulang pada hari pengundian nanti.

“Kemenangan calon perpaduan adalah kunci kepada kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di Perak, selain memastikan rakyat terus menerima manfaat daripada kepimpinan yang stabil dan progresif.

“AMH menolak politik kebencian dan menyeru pengundi untuk memastikan kemenangan calon perpaduan demi masa depan yang lebih terjamin untuk Perak,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS