Gerakan berharap pembelian 30 pesawat baru Malaysia Airlines (MAS) daripada Boeing bukan pertukaran untuk membolehkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Presiden Gerakan Dominic Lau, berkata ia menjadi persoalan kerana MAS tiba-tiba membuat langkah besar dengan pembelian pesawat ini ketika Anwar masih gagal bercakap dengan Trump seperti disahkan bekas duta, Nazri Aziz.
"Tiba-tiba MAS membuat langkah besar untuk membeli pesawat Boeing, sudah tentu akan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai, adakah kedua-dua perkara ini saling berkait?
"Saya benar-benar berharap, keputusan pembelian pesawat Boeing adalah untuk masa depan MAS, bukan pertukaran untuk bercakap dengan Trump"

Pemerolehan 30 pesawat baru secara langsung daripada Boeing dilaporkan sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan armada Malaysia Aviation Group (MAG) .
Pengarah Urusan Kumpulan MAG Kapten Izham Ismail berkata pemilihan pesawat 737-8 dan 737-10 mencerminkan penilaian teliti terhadap strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.
Katanya, ia bagi memastikan syarikat penerbangan itu memiliki pesawat yang sesuai untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.
Katanya, pesawat generasi baru itu menawarkan kecekapan bahan api yang lebih tinggi, jarak penerbangan yang lebih jauh, dan keselesaan penumpang yang lebih baik.
Pembelian munasabah?
Sementara itu, Dominic mempersoalkan dalam situasi semasa adakah pembelian tersebut satu keputusan yang munasabah kerana khuatir ia akan memberi tekanan kewangan kepada syarikat penerbangan itu.
"Malaysia Airlines Group, syarikat induk Malaysia Airlines, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM766 juta pada tahun kewangan 2023, ini adalah kali pertama MAS mencatat keuntungan sejak 2010.
"Laporan kewangan untuk tahun 2024 (berakhir pada 31 Disember) dijangka tidak optimistik. Menurut laporan The Edge, selepas menjana wang pada 2023, syarikat penerbangan milik negara itu mungkin mengalami kerugian semula.
"Dalam keadaan sebegitu, Gerakan berharap pembelian pesawat Boeing oleh MAS menjurus kepada pembangunan masa depan dan tidak mempunyai agenda tersembunyi yang tidak mahu diketahui rakyat. Apatah lagi PM gagal menunjukkan bukti, sama ada audit forensik terhadap Sapura Energy Berhad sudah dijalankan atau tidak," katanya lagi.