Napsiah Khamis sekali lagi mencuba nasib bagi memenangi jawatan nombor dua dalam pemilihan wanita PKR, Mei ini.
Bekas ketua wanita PKR Johor itu hari ini mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan ketua Wanita PKR mencabar penyandangnya, Juwairiya Zulkifli.
Katanya, dia bersaing merebut jawatan itu bagi “mengangkat perjuangan wanita ke aras yang lebih baik dan bermaruah”.
“Mengambil semangat dan roh perjuangan para pemimpin wanita terdahulu dan setelah mendapat restu keluarga serta selepas berbincang dengan rakan-rakan, maka dengan penuh tawaduk, saya dengan ini menawarkan diri bertanding jawatan timbalan ketua wanita keadilan pusat dalam pemilihan 2025 ini.
“Saya insaf cabaran besar menanti, pun begitu saya meyakini dapat memberikan pilihan kepada para anggota PKR dari sayap wanita.
“Saya meyakini dapat memberikan sumbangan kepada perjuangan PKR yang juga mampu mengangkat perjuangan wanita ke aras yang lebih baik dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pemilihan terdahulu Juwairiya memenangi jawatan itu dalam saingan tiga penjuru dengan Napsiah dan Faizah Ariffin.
Juwairiya meraih 17,743 undi, manakala Napsiah dan Faizah masing-masing memperoleh 14,282 dan 11,071 undi.
Menurut Napsiah, dia mendapat inspirasi meneruskan agenda memperkasakan Wanita PKR daripada asuhan sejak kecilnya.
“Asuhan sejak kecil ini menjadi pendorong menguatkan semangat saya menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara yang boleh dilihat daripada pelbagai kegiatan saya dan teman-teman selama ini.
“Asuhan inilah menjadi motivasi saya berbakti kepada masyarakat, menjadi cita-cita dan impian untuk mengangkat martabat kaum wanita di negara ini yang merupakan kesinambungan perjuangan pemimpin wanita terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh sejak dari sebelum merdeka dan di era awal kemerdekaan.
“Nikmat kemerdekaan serta pembangunan pesat hari ini tidak mungkin tercapai tanpa sumbangsih kaum Wanita,” katanya.
Rodziah lawan Fadhlina
Pemilihan parti akan datang turut menyaksikan pertembungan semula bagi merebut jawatan Ketua Wanita antara penyandangnya, Fadhlina Sidek, dengan anggota parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Rodziah berkata, dia mengambil keputusan itu bagi membantu mengukuhkan struktur organisasi parti dalam membuat persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pemilihan pusat PKR dijadualkan berlangsung pada 24 Mei, manakala pemilihan bahagian akan diadakan dari 11 April hingga 20 April.