ADS
mk-logo
Berita
NGO anggap Anwar hilang prinsip lepas puji Hajiji
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 11:47 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

Tindakan Anwar Ibrahim yang memuji Hajiji Noor secara terbuka ketika Ketua Menteri Sabah itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan sesuatu yang mengecewakan rakyat Sabah.

Presiden dan pengasas Sabah Entitlement & Equity Now (Seen), Duncan Cheng, berkata tindakan perdana menteri itu bukan sahaja mengelirukan, malah seolah-olah merestui kegiatan rasuah yang dikaitkan dengan Hajiji.

"Kenyataan Anwar seolah-olah memberi bayangan bahawa beliau merestui kegiatan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Hajiji.

"Anwar telah kehilangan prinsipnya serta melupakan bahawa tiada toleransi terhadap rasuah dan komitmennya memerangi rasuah.

"Saya berharap perdana menteri berhenti berpura-pura memerangi rasuah, orang ramai sudah muak melihat drama itu," katanya dalam satu kenyataan.

ADS

Kelmarin dalam satu majlis berbuka puasa di Sabah, Anwar memuji kepimpinan Hajiji dalam menerajui negeri itu.

Anwar berkata, Hajiji selalu tenang dan bersederhana menghadapi hiruk-pikuk politik di Sabah bagi menjaga kestabilan negeri, selain membantu kerajaan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting untuk rakyat dan negeri.

Pada 21 Mac lalu, SPRM sudah merekodkan kenyataan tiga lagi individu berhubung siasatan mereka terhadap skandal rasuah yang didakwa melibatkan beberapa Adun Sabah.

Antara yang memberi keterangan kepada agensi antirasuah itu ialah rakan kongsi perniagaan pembocor maklumat dan dua kakitangannya, masing-masing pengurus operasi dan pengurus akaun.

Ketiga-tiga mereka disoal siasat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dari jam 9.30 pagi hingga 3 petang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS