ADS
mk-logo
Berita
Akmal tanya MIC: Kenapa DBKL kena beritahu pada yang menumpang?
Diterbitkan:  Mar 24, 2025 10:36 AM
Dikemaskini: 2:43 AM

Pemuda Umno hari ini membidas Presiden MIC, SA Vigneswaran, berhubung kontroversi sebidang tanah yang menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh, berkata tanah itu adalah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) justeru tiada keperluan untuk pihak berkuasa tempatan terbabit memaklumkan kepada sesiapa jika ia mahu dijual.

Apa yang berlaku sekarang, kata Akmal, DBKL selaku tuan tanah dipersalahkan apabila mereka mahu menjual aset sendiri sedangkan sepatutnya pihak yang menumpang itulah yang bertanya.

"Tanah milik DBKL (tapi) nak jual kena beritahu pada orang yang menumpang atas tanah DBKL sendiri?

ADS

"Kalau kata (binaan tersebut) dah ada disitu selama 130 tahun, kenapa tiada langsung pihak pengurusan kuil datang berjumpa dengan DBKL bagi menyatakan hasrat untuk membeli atau menyewa tanah tersebut?" katanya melalui hantaran di media sosial.

Semalam Vigneswaran dilaporkan berkata, DBKL patut datang berbincang dengan pihak pengurusan kuil berkenaan sebelum menjualnya kepada pihak lain.

Isu tanah tersebut menjadi perhatian ramai sejak beberapa hari lalu ekoran tersebar berita mendakwa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan masjid.

Tanah itu kini menjadi milik syarikat Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel Trading).

SA Vigneswaran
ADS

Bagaimanapun di sebalik pertembungan pandangan pelbagai pihak, Jakel Trading memaklumkan pihaknya sedang berunding dengan pihak kuil berkenaan dan memberi jaminan tiada perobohan paksa akan dibuat.

Ketua komunikasi undang-undang dan korporatnya, Aiman Dazuki, berkata syarikat itu ingin mencari penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak dan akan terus berunding sehingga penyelesaian bersama dicapai.

Beberapa pihak pula mencadangkan agar kuil tersebut dikekalkan manakala bangunan masjid yang dirancang itu dibina bersebelahan tempat berkenaan.

Cuba jadi jaguh

Kata Akmal, negara ini ada undang-undang dan jika perlu kes tersebut perlu dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan secara adil.

"Ini (sekarang) tuan tanah yang dipersalahkan apabila nak jual tanah mereka sendiri. Sepatutnya orang yang menumpang atas tanahlah yang tanya tuan tanah (sama ada) nak jual atau apa," katanya.

Hantaran Akmal itu diiringi dengan tangkap layar laporan portal berita MalaysiaGazette berkenaan sidang media Vigneswaran semalam.

Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, dalam hantaran lain di Facebook pagi ini meminta tiada pihak yang bertindak melaga-lagakan orang ramai berhubung isu berkenaan.

ADS

Kata Mohd Puad, rundingan sedang berjalan dan tidak wajar ia diganggu.

"NGO dan peguam yang cuba jadi jaguh songsang, mesti hentikan provokasi yang menganggu proses perundingan di antara pihak Jakel dan kuil Hindu.

"Berhentilah jadi batu api. Ahli politik pula jangan cuba main “play safe”. Ikut sahaja undang undang," katanya.

Tambah Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu lagi, seseorang berhak berniat untuk berwakaf termasuk membina masjid di tanah yang menjadi haknya.

"Macam mana jika tanah milik pihak kuil (tetapi) ada surau lama di atasnya? (Adakah) Mesti kena pindah? Apakah LFL dan Ambiga akan campur tangan?" katanya merujuk kepada NGO Lawyers for Liberty dan peguam Ambigaa Sreenevasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS