Data daripada Dewan Rakyat merupakan siri utama kewartawanan data oleh Newsgraphy yang mengubah data parlimen yang kompleks kepada maklumat yang mudah difahami oleh rakyat Malaysia, sekali gus menjadikan informasi legislatif lebih telus dan mudah diakses oleh orang awam.
Kandungan di bawah diterbitkan semula dengan kebenaran daripada Newsgraphy.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan pada tahun 1997 bagi menyediakan pembiayaan pendidikan kepada jutaan pelajar setiap tahun dan membantu mereka menyempurnakan pengajian.
Namun begitu, usaha untuk mendapatkan semula bayaran pinjaman daripada peminjam menjadi satu cabaran besar.
Dalam satu jawapan bertulis di Parlimen oleh Kementerian Pengajian Tinggi, setakat 31 Disember tahun lalu, daripada 2.83 juta peminjam di seluruh negara, seramai 1,044,595 orang (37 peratus) telah melunaskan pinjaman mereka sepenuhnya, manakala 585,638 orang (21 peratus) sedang membuat bayaran balik secara konsisten.
Sementara itu, seramai 817,872 orang (29 peratus) tidak membuat bayaran balik secara konsisten, dengan jumlah tunggakan mencecah RM5.8 bilion.
Seramai 383,637 orang lagi (13 peratus) langsung tidak pernah membuat sebarang bayaran balik, dengan jumlah hutang sebanyak RM5.25 bilion.
Secara keseluruhan, ini bermakna seramai 1.2 juta peminjam mempunyai tunggakan bayaran balik berjumlah RM11.05 bilion.
Daripada jumlah tersebut, 20 peratus peminjam gagal membayar pinjaman selama sekurang-kurangnya tujuh tahun atau lebih, melibatkan hutang sebanyak RM5.68 bilion.
Laporan Ketua Audit Negara Siri 1/2025 memberi amaran bahawa kegagalan untuk mendapatkan semula bayaran pinjaman boleh menyebabkan PTPTN menghadapi risiko kekurangan dana, sekali gus menjejaskan pemberian pinjaman kepada peminjam yang layak pada masa hadapan.
Bagi mereka yang masih belum membayar balik pinjaman, PTPTN telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengutip hutang tertunggak, tetapi sejauh manakah keberkesanannya?
Laporan itu menyatakan bahawa antara tahun 2014 hingga 2023, PTPTN berjaya mendapatkan semula RM26.4 bilion dalam bentuk bayaran balik pinjaman, terutamanya melalui potongan gaji, debit terus, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta pembayaran di kaunter dan dalam talian.
Sepanjang tempoh tersebut, kadar pembayaran balik pinjaman PTPTN antara 7.3 peratus hingga 79.3 peratus, dengan kemuncaknya pada tahun 2017 apabila mencecah 79.3 peratus.
Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa kejayaan ini disebabkan oleh tindakan penguatkuasaan ketat kerajaan pada tahun tersebut, seperti menyenarai hitam peminjam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan pelaksanaan pemotongan gaji mandatori bagi penjawat awam.
Bagaimanapun, selepas kerajaan menggantung tindakan penguatkuasaan bayaran balik mandatori pada tahun 2018, kadar pemulihan pinjaman menunjukkan trend penurunan selama tiga tahun berikutnya dan hanya mula pulih semula pada tahun 2021.
Bagi menggalakkan bayaran balik, PTPTN telah memperkenalkan tawaran diskaun antara lima peratus hingga 20 peratus. Selain itu, badan berkenaan turut menyediakan pengecualian bayaran pinjaman sebanyak 100 peratus kepada peminjam yang memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama atau kelayakan setaraf, sebagai penghargaan kepada pencapaian cemerlang dalam akademik.
Namun begitu, diskaun dan pengecualian ini disubsidikan oleh kerajaan kepada PTPTN.
Untuk lebih banyak maklumat data dan infografik, layari laman web dan akaun media sosial Newsgraphy: Facebook | Instagram | Threads | LinkedIn.