Sekretariat Gempur Rasuah Sabah mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim "keliru" dengan prinsipnya sendiri apabila memuji Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang terpalit dengan skandal.
"Mustahil seorang perdana menteri itu terlalu dungu untuk tidak mengikuti perkembangan skandal rasuah Sabah yang melibatkan sejumlah Adun Sabah, Speaker DUN Sabah dan Ketua Menteri Sabah.
"Anwar menekankan kepentingan menjaga kestabilan politik, kononnya untuk tumpuan ke arah transisi tenaga, pelan perindustrian dan kecerdasan buatan yang sedang merombak sistem dunia, tetapi dilihat membisu dan seakan merestui skandal rasuah dan penyelewengan yang sedang menggemparkan rakyat Sabah," kata sekretariat itu dalam kenyataan hari ini.
Sekretariat itu mengingatkan Anwar dan pemimpin PH yang sebelum ini silih berganti ke Sabah untuk mempersoalkan isu tadbir urus kerajaan negeri, pembangunan infrastruktur dan rasuah negeri itu.
"Anwar antara pemimpin politik yang paling lantang mempersoal kes rasuah Musa Aman.
“Sekarang beliau tersenyum bergambar dengan Musa di Istana Negara," kata kenyataan itu lagi.
Menurut sekretariat itu, retorik politik Anwar sudah lapuk dan anak muda tidak akan termakan taktik berkenaan.
"Sebaliknya menilai struktur pemerintahan itu berdasarkan nilai integriti, kejujuran serta realiti semasa yang dihadapi rakyat di negeri ini hampir setiap hari," tambahnya.
Sekretariat itu mengulas laporan berita mengenai majlis berbuka puasa di Sabah pada Ahad lalu apabila Anwar dilaporkan memuji Hajiji kerana "tenang dan sederhana" dalam menghadapi kemelut politik di negeri itu.
Kenyataannya juga mendapat kritikan daripada sebuah NGO negeri, yang menuduh Anwar menyimpang daripada pendirian sifar toleransinya terhadap rasuah, dan seorang pemimpin Bersatu Sabah, yang melaungkan "double standard."
Sejak November lalu, seorang ahli perniagaan telah mengeluarkan sembilan video dan sekumpulan mesej WhatsApp membabitkan Adun dan speaker dalam skandal rasuah.
Dia mendakwa sembilan mereka disogok sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.
Video itu – yang sedang disiasat oleh SPRM – turut mengandungi perbincangan mengenai Hajiji yang dikatakan mengeluarkan lesen kepada Adun yang menyokongnya semasa krisis politik 2022.
Hajiji bagaimanapun mendakwa video berkenaan adalah satu percubaan untuk melemahkan pentadbirannya, manakala ahli perniagaan itu telah dituduh sebagai sebahagian daripada kartel yang ingin memonopoli perlombongan di negeri itu.