Parti Muda akan mula menggerakkan kerja mereka untuk membantu Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning di Perak tidak lama lagi.
Dalam kenyataan hari ini, Biro Politik Muda berkata mereka menghormati pendirian PSM – yang kini menjadi rakan sekutu parti tersebut – dan menyokong sebarang usaha memperjuangkan politik berprinsip berpaksikan rakyat, khususnya dalam isu kos sara hidup, keadilan sosial, perumahan, alam sekitar, serta hak pekerja dan masyarakat terpinggir.
“Sebagai tanda sokongan terhadap politik alternatif, Muda akan mula bekerja bersama PSM di bilik gerakan PRK Ayer Kuning dalam masa terdekat.
“Kehadiran Muda di lapangan bertujuan memastikan kempen ini membawa suara rakyat dan menolak politik perkauman serta persaingan elitis yang sering membelenggu pilihan pengundi,” kata biro berkenaan.
PRK Ayer Kuning dilangsungkan selepas penyandangnya, Ishsam Shahruddin, yang mengalami serangan jantung pada 23 Feb lalu. Allahyarham merupakan calon Umno-BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 April sebagai hari penamaan calon manakala pengundian dilaksanakan pada 26 April.
Bagi pengundian awal, SPR menetapkan ia berlangsung pada 22 April.
Dalam PRU lalu (2022) PSM memang menurunkan calonnya di Ayer Kuning, Bawani KS. Bagaimanapun aktivis dan Timbalan Setiausaha Agung PSM tersebut sekadar memperoleh 586 undi berbanding Ishsam (9,088 undi).
Pencabar terdekat Ishsam ialah Mohd Nazri Hashim (PH).
Hasrat PSM untuk sekali lagi bertanding di Ayer Kuning itu diumumkan timbalan presidennya, S Arutchelvan, semalam.
Kata Arutchelvan, meletakkan calon alternatif dalam persaingan di antara dua gabungan besar adalah sukar kerana ia tidak memihak kepada mereka.
Pun begitu, katanya, PSM tetap mahu menyertai PRK tersebut berdasarkan beberapa faktor termasuk pembabitan mereka di kawasan tersebut pada PRU lalu.
Menurut Muda penglibatan PSM membolehkan pengundi Ayer Kuning memiliki alternatif kepada dua gabungan utama dalam PRK tersebut iaitu BN-PH – selaku blok kerajaan – dan PN dari barisan pembangkang.
“Muda menyeru para pengundi Ayer Kuning untuk memilih politik yang berprinsip dan membawa perubahan sebenar.
“Kami komited untuk terus bekerjasama dengan parti politik yang berkongsi aspirasi membina politik baru yang lebih adil, progresif, dan berintegriti,” katanya.