Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim memberi amaran bahawa kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS mungkin berisiko disaman berhubung keputusan terbarunya yang mengarahkan semua premis perniagaan ditutup pada 1 Syawal.
"Perniagaan bayar lesen (yuran) kepada kerajaan negeri. Sebelum kutip wang itu, adakah kerajaan negeri memaklumkan kepada syarikat bahawa mereka wajib tutup pada Aidilfitri? Kalau tidak, mereka boleh disaman.

"Bagaimana seseorang itu menyambut Hari Raya bergantung kepada mereka. Ada mungkin mahu bekerja untuk mendapatkan wang.
“Bukan urusan kerajaan untuk mengawal selia pilihan peribadi mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata semua premis perniagaan termasuk pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka di Kelantan perlu menutup operasi pada 1 Syawal.
Arahan itu, yang turut terpakai kepada perniagaan yang dikendalikan oleh peniaga bukan Islam, yang dikatakan selaras dengan peraturan pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan pekerja beragama Islam menyambut Aidilfitri.
“Peraturan ini telah diamalkan sejak beberapa tahun lalu dan bukan perkara baru. Pemilik premis perniagaan boleh dikenakan kompaun jika gagal mematuhinya,” katanya.

Keputusan itu mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak, dengan Adun Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim mempersoalkan kewajaran keputusan tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri pimpinan PAS perlu memberikan penjelasan agar para peniaga memahami rasional di sebalik peraturan baru tersebut.
Adun dari Amanah itu turut menimbulkan persoalan mengenai operasi perniagaan kritikal seperti klinik dan stesen minyak yang juga dikatakan perlu ditutup.

Mengulas lanjut, Zaid berkata Pakatan Harapan akan terus mentadbir negara ini kerana PAS tidak menggunakan otak mereka.
Bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu juga menganggap arahan Hilmi itu sebagai gila dan tidak masuk akal.
“Kerajaan PAS nanti akan beritahu kamu supaya bersarapan hanya selepas jam 7 pagi atau tidur selepas 11 malam. Mereka akan mencari pelbagai alasan untuk mewajarkannya.
“Menteri besar sepatutnya memastikan exco-exco tahu mengenai kesan dasar mereka kepada orang ramai.
“Jika tidak, perniagaan akan terjejas, dan rakyat akan dirundung kesusahan,” tambah Zaid.

Sebelum ini kerajaan negeri Terengganu telah melarang semua aktiviti busking dan muzik jalanan di seluruh negeri sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.