ADS
mk-logo
Berita
Mas Ermieyati 'wanita besi' di sebalik PAC paling lantang

MALAYSIANSKINI | Di bahagian belakang gambar graduasi allahyarham bapanya, Mas Ermieyati Samsudin yang ketika itu berusia 13 tahun pernah menulis satu catatan istimewa bersama janji bahawa dia akan mengikuti jejak langkah bapanya sebagai seorang graduan universiti.

Tanpa disedari, janji tersebut telah bertukar menjadi manifesto peribadi dan impian hidup, menjadi sumber motivasi kepada ahli parlimen Masjid Tanah itu sepanjang persekolahannya, sekaligus membentuk dirinya menjadi lebih mirip dengan bapanya yang juga seorang ahli politik, lebih daripada yang pernah dia bayangkan.

Kekaguman pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ini terhadap bapanya, Samsudin Md Ali, jelas terlihat apabila diau mengakui ketabahan dan kecekalan bapanya menjadi inspirasi yang sentiasa mengingatkannya agar terus komited mengejar impian meskipun berhadapan cabaran.

Buat pertama kalinya, dia berkongsi catatan janjinya kepada umum:

ADS

“Abah tersayang,

"Emi juga bercita-cita ingin menjejak kaki ke universiti seperti abah.

"Tapi Emi tahu, abah adalah seorang yang gigih.

"Tapi Emi akan cuba berusaha bersungguh-sungguh!

ADS

"InsyaAllah!”

Walaupun nota itu ditujukan kepada bapanya, Mas Ermieyati menyimpannya sebagai peringatan peribadinya.

“Saya tak pernah hantar foto ini kepadanya dan saya rasa dia sendiri tak tahu tentang janji ini.

"Nota ini hanya untuk saya sendiri, sebagai peringatan terhadap matlamat saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketika berusia hanya 11 tahun, anak kedua daripada enam beradik ini sedar peluang terbaik untuk cemerlang dalam akademik serta sukan adalah dengan meninggalkan kampung ke sekolah yang lebih baik di bandar.

Dia berpindah ke Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar di kawasan luar bandar Melaka bagi memudahkan kemasukan ke sekolah berasrama penuh, dengan dia kemudian berjaya mendapat 5A dalam UPSR dan memasuki Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru.

Inilah permulaan jalan hidupnya sekarang.

Terjun ke dunia politik

ADS

Semasa remaja, Mas Ermieyati tidak pernah membayangkan dirinya akan mengikuti jejak bapanya dalam politik.

Ketika kecil, dia pernah menyaksikan bapanya, Samsudin, bertanding dalam pilihan raya umum 1990 atas tiket Semangat 46 – sebuah parti serpihan Umno – dan kalah kepada calon Umno.

Realiti pahit politik pilihan raya ketika itu bukan pengalaman yang ingin diulanginya. Namun nilai hidup bapanya – “berbuat baik dan membantu, khususnya untuk orang kampung sendiri” – akhirnya membawa diamelalui jalan yang sama.

“Darahnya mengalir dalam tubuh saya,” katanya.

Keinginan memberi kembali kepada masyarakat mendorong dia aktif dalam Gerakan Belia 4B, sebuah pertubuhan yang terkenal melahirkan pemimpin muda dalam politik dan komuniti, pada usia 15 tahun.

Setelah memperoleh ijazah undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mas Ermieyati mula serius menceburi politik dengan menyertai Puteri Umno sewaktu sayap parti itu dilancarkan pada tahun 2000.

Kini, dia salah seorang daripada hanya dua wanita yang pernah menjadi pengerusi PAC yang bersifat dwipartisan. Pada pilihan raya umum terbaru, beliau berjaya dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah buat kali ketiga berturut-turut.

Kemenangannya dengan majoriti 4,411 undi sebagai calon Perikatan Nasional mengejutkan banyak pihak kerana kawasan itu selama ini dianggap kubu kuat Umno, parti yang memperkenalkannya kepada politik.

Tukar kem politik

Selama bertahun-tahun, Masjid Tanah dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan dianggap kubu kuat Umno, kerusi selamat yang sentiasa boleh dimenangi parti itu.

Namun pada tahun 2018, Kuala Pilah tumbang apabila Umno kehilangan kerusi tersebut kepada Bersatu – satu perubahan yang membayangkan pergolakan politik yang bakal berlaku.

Mas Ermieyati, ketika itu seorang pemimpin setia Umno, turut berdepan dilema besar apabila dia membuat keputusan meninggalkan parti tersebut.

Dia enggan mendedahkan sebab sebenar tindakannya itu tetapi mengakui bahawa pada ketika itu dia percaya langkah berani itu bakal menamatkan kerjaya politiknya.

“(Semasa itu) saya tak fikir akan bertanding lagi (dalam mana-mana pilihan raya),” katanya sambil mengenang bagaimana keputusan meninggalkan Umno mengorbankan persahabatan lamanya serta memaksanya bermula semula.

“Tetapi kesukaran mengajar saya bahawa kepimpinan bukan soal keselesaan – tetapi soal prinsip dan keyakinan,” katanya.

Sokongan pengundi muda

Pada waktu-waktu sukar itu, Mas Ermieyati berkata sokongan keluarga dan orang tersayang menjadi kekuatan yang menenangkannya.

Dia berkata hal ini amat penting khususnya kepada ahli politik wanita, yang sering kali menerima penilaian jauh lebih keras berbanding lelaki dalam masyarakat yang masih bersifat patriarki.

Selama enam bulan, dia kekal sebagai wakil rakyat bebas, meneliti tawaran dari beberapa parti sebelum akhirnya menerima tawaran daripada Bersatu atas undangan pengasas bersama parti tersebut yang ketika itu juga pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun langkah menyertai Bersatu membantu kelangsungan politiknya, Mas Ermieyati percaya kemenangan sebenar dirinya banyak dibantu oleh generasi muda – bukan lagi pengundi Umno tradisional.

“Selepas 2022, pengundi 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik mula berkuat kuasa. Itulah sumber sokongan utama saya – saluran pengundi muda,” katanya.

Pemimpin Bersatu ini melihat fokus awalnya terhadap inisiatif pendidikan sebagai faktor utama yang menarik perhatian pengundi muda.

“Sejak 2013, saya mengutamakan pendidikan – anugerah pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), SPM, dan STPM, serta sentiasa aktif mendekati sekolah-sekolah,” katanya.

Dia mengakui pendekatan ini membuahkan hasil apabila ramai pelajar yang menerima manfaat daripada program tersebut akhirnya menjadi pengundi kali pertama yang mengenali jasanya.

Namun kini, sebagai ahli politik pembangkang, jauh lebih sukar baginya untuk terlibat secara langsung dengan sekolah-sekolah.

Cepat menyesuaikan diri, beliau beralih ke media sosial bagi mendekati pengundi muda dan bakal pengundi.

Keupayaan Mas Ermieyati untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik – sama ada melalui pertukaran parti mahupun strategi pendekatan – menjadikan dia kekal relevan dalam arena politik.

Politik berakar dalam keluarga

Ketika membesar, katanya, politik sentiasa menjadi bahan perbualan di rumahnya. Namun sebagai seorang ibu kepada lima anak, beliau kini meninggalkan politik di pintu rumah, malah tidak berbincang hal politik dengan suaminya sendiri.

“Walaupun ada masalah di tempat kerja, saya akan tetap pulang dengan wajah yang ceria. Saya seorang ibu yang ceria, dan rumah adalah tempat bahagia saya.”

Sebagai seorang ibu yang terlibat secara aktif dalam kehidupan anak-anaknya dan peminat sukan menyelam (scuba diving), dia percaya kepada keseimbangan hidup serta “memberi masa untuk perkara yang benar-benar penting.”

“Saya utamakan tugas, tetapkan sempadan dan luangkan masa untuk keluarga.”

“Aktiviti seperti keluar bersama-sama atau makan malam bersama keluarga banyak membantu saya kekal fokus dan gembira,” katanya.

Walaupun tidak membawa politik ke rumah, anak keduanya, Hakim Mohd Helmy, menunjukkan minat serta semangat yang sama terhadap dunia politik.

Sepertimana bapanya pernah lakukan kepada dia dahulu, Mas Ermieyati akan membiarkan anaknya menentukan jalannya sendiri sambil memberikan sokongan penuh.

Suami mengalah demi keluarga

Di sebalik sosok politik bernama Mas Ermieyati, berdiri teguh seorang penyokong kuat yang juga suaminya, Mohd Helmy Abd Talib, bekas wartawan dan pengusaha restoran.

Bercinta sejak zaman remaja, mereka berkahwin selepas sembilan tahun bercinta, ketika kerjaya politiknya dalam Umno sedang meningkat naik.

Seminggu sebelum mereka bernikah, Mas Ermieyati dipilih menjadi ketua Puteri Umno Bahagian Alor Gajah.

Itulah detik permulaan penglibatan serius dirinya di dalam politik, sesuatu yang langsung tidak mereka rancangkan ketika mula membuat keputusan untuk hidup bersama.

Apabila kerjaya politiknya mula berkembang, pasangan ini terpaksa membuat keputusan yang sukar.

“Hidup mula jadi sangat sibuk, kami berbincang dan akhirnya dia (suami) memilih untuk berkorban,” katanya.

“Dia berkata kepada saya, ‘Tak apa, biar saya jaga anak-anak’. Itu pengorbanan terbesar yang dia buat,” jelasnya lagi.

“Kami bukan datang dari keluarga yang kaya, tetapi kami mahu memastikan anak-anak dijaga dengan baik.”

“Kalau dua-dua sibuk dengan kerja, bagaimana nasib anak-anak kami nanti?”

Bagi Mas Ermieyati, sokongan tanpa henti daripada suaminya menjadi tiang utama yang menyokong perjalanan kerjayanya selama ini.

“Sokongan itulah yang membawa saya ke tahap hari ini,” katanya.

Inspirasi dari mentor Ali Rustam

Gaya kepimpinan Mas Ermieyati sering dibandingkan dengan Azalina Othman Said, seorang ahli politik yang lantang dan berpendirian tegas yang juga merupakan ketua Puteri Umno yang pertama—jawatan yang kemudiannya disandang oleh Mas Ermieyati 14 tahun kemudian sebagai ketua keempat.

Namun dia menganggap pendekatannya lebih bertumpu kepada akar umbi, mengambil inspirasi daripada mentornya, Ali Rustam, bekas ketua menteri Melaka yang juga bekas bosnya ketika Mas Ermieyati berkhidmat sebagai pegawai khas Ali selama lebih tujuh tahun. Kini Ali Yang Dipertua Negeri Melaka.

“Saya rasa saya membina jalan sendiri kerana Azalina seorang pemimpin yang lantang dan berpendirian kuat.

“Saya memilih pendekatan yang berbeza, lebih fokus kepada akar umbi, seperti Tun Ali, bukan sekadar mengikut jejak langkah Azalina,” katanya.

Di bawah bimbingan Ali Rustam, dia memerhati dan mempelajari bagaimana pemimpin popular itu menjalinkan hubungan erat dengan rakyat serta sentiasa menitikberatkan pembangunan komuniti.

“Setiap hari bersama beliau merupakan satu proses pembelajaran. Saya melihat bagaimana beliau bekerja tanpa henti demi rakyat,” katanya, sambil memuji Ali sebagai pemimpin berwawasan di Melaka.

Mas Ermieyati masih ingat bagaimana Ali sanggup bertemu penduduk seawal pukul 8 pagi, menandatangani dokumen yang diperlukan di atas bonet keretanya sebelum bergegas ke mesyuarat seterusnya. Semua ini meninggalkan kesan yang mendalam padanya.

“Itulah Tun Ali,” katanya, sambil menambah ada hari-hari tertentu bermula seawal pukul 5 pagi.

“Beliau sangat bersemangat membantu orang ramai. Bila saya menjadi wakil rakyat, saya mengikut cara beliau mengendalikan sesuatu perkara,” katanya.

Pengalaman bertahun-tahun di bawah bimbingan Ali sangat bermakna sehingga kini dia masih bertanya kepada dirinya sendiri, “Apa yang Tun Ali akan lakukan?” apabila membuat keputusan dalam tugasnya.

Bekerja dengan Ali dan Azalina Othman Said telah mengajarnya ramuan utama di sebalik kejayaan dalam karier politik: semangat.

“Jika tiada semangat, memang tak akan berjaya.”

Mengenang semula awal penglibatannya dalam politik, Mas Ermieyati berkata satu perkara yang dipelajarinya secara sukar ialah “seni politik”, iaitu kemahiran mengurus dan mengimbangi kehendak pelbagai pihak berkepentingan demi memastikan sesuatu perkara dapat dilaksanakan.

“Pada mulanya, saya ingat boleh dekati politik secara terus terang, tetapi akhirnya saya belajar politik tak begitu.

“Politik perlukan seni tertentu. Malah untuk menjawab soalan pun ada tekniknya. Begitulah saya belajar,” katanya.

Stres, penat dan menangis

Berada di barisan hadapan politik kepartian juga memberi tekanan besar.

Dia berkata salah satu punca tekanan utama itu untuk mendapatkan sumber kewangan bagi memenuhi keperluan penduduk kawasan kerana peruntukan kerajaan di kawasan-kawasan Parlimen biasanya tidak disalurkan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Kadang-kadang, kita rasa sangat penat (burn out),” katanya.

Kaedah Mas Ermieyati dalam mengurus beban emosi akibat tugasnya mungkin kelihatan tidak konvensional dalam dunia politik yang keras dan dikuasai orang lelaki.

“Saya banyak menangis,” katanya. “Bila stres, saya menangis sahaja. Tiada salahnya menangis, kan?”

Di sebalik wajah tenangnya, dia mengakui dirinya seorang yang mudah tersentuh dan menangis caranya untuk “reset” atau kembali tenang.

“Selepas saya menangis, saya okey. Itulah cara saya lega.”

Bagaimanapun, dia sedar perkara ini boleh dianggap sebagai kelemahan. Sentiasa strategik, dia berhati-hati tentang tempat dan individu yang menjadi tempat luahan emosinya.

“Kita mesti menangis dengan orang yang betul, minta nasihat daripada orang yang tepat, kalau tidak orang lain akan ambil kesempatan,” tambahnya lagi.

Jumlah siasatan PAC terbanyak dalam sejarah

Di sebalik pelbagai cabaran, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dipengerusikan oleh Mas Ermieyati berjaya mencatat sejarah dengan mengeluarkan laporan terbanyak serta menyiasat jumlah isu tertinggi berkaitan kewangan awam.

PAC bertanggungjawab meneliti perbelanjaan kerajaan persekutuan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti. Tahun lalu, sebanyak 22 laporan PAC dibentangkan di Dewan Rakyat, manakala 25 lagi dirancang untuk tahun ini.

Usahanya telah memberi PAC reputasi sebagai sebuah jawatankuasa yang sangat produktif, dengan 148 mesyuarat diadakan tahun lalu, iaitu rekod tertinggi dalam sejarah jawatankuasa berkenaan.

“Sasaran kami adalah menghasilkan laporan yang berkualiti yang boleh dibaca dan dinilai oleh orang ramai,” jelasnya, sambil menambah jumlah laporan bukanlah segala-galanya.

Di PAC, Mas Ermieyati mengetuai jawatankuasa dengan menekankan kepentingan konsensus dan akauntabiliti.

“Apa sahaja keputusan yang kami buat dalam PAC, ia dicapai melalui konsensus. Kami tidak menggunakan pendekatan satu pihak, sebaliknya bergerak sebagai satu pasukan.”

Dia turut komited mengekalkan pendekatan neutral dan dwipartisan dalam tugasnya.

“Sangat penting bagi kami untuk meninggalkan identiti politik masing-masing di luar bilik mesyuarat bagi memastikan perbincangan yang produktif dan keputusan yang adil,” katanya lagi.

‘Perdana Menteri wanita’

Bagi Mas Ermieyati, memperjuangkan wanita dalam kepimpinan amat penting namun keupayaan dan kelayakan mestilah tetap menjadi keutamaan.

“Sekadar melantik lebih ramai wanita tidak mencukupi untuk mencapai tadbir urus lebih baik sekiranya isu sistemik dalam organisasi tidak ditangani,” tegasnya.

Sebaliknya, dia menekankan perlunya langkah-langkah ketelusan dan akauntabiliti yang lebih kukuh.

“Pemimpin mesti dipertanggungjawabkan atas prestasi dan keputusan mereka.”

Mas Ermieyati percaya pada kemungkinan Malaysia mempunyai seorang perdana menteri wanita pada suatu hari nanti.

Menurutnya, pemimpin wanita lazimnya membawa perspektif segar terutama dalam aspek kebajikan sosial, pendidikan, penjagaan kesihatan, serta kesaksamaan gender.

Namun dia sedar untuk menjadikan impian ini satu kenyataan, Malaysia memerlukan perubahan besar.

“Ia memerlukan kepimpinan yang kuat, tekad politik, serta sokongan masyarakat bagi menjadikannya realiti.”

Lebih daripada isu gender, Mas Ermieyati berkata tadbir urus yang cekap dan perubahan bermakna itu lebih penting.

“Perdana menteri wanita mungkin satu simbol yang penting, tetapi transformasi sebenar bergantung pada dasar-dasar yang digubal, gaya pentadbiran, dan bagaimana seseorang pemimpin menavigasi landskap politik Malaysia yang kompleks,” katanya.

Ini termasuklah meningkatkan penglibatan wanita dalam kepimpinan parti politik.

Dalam partinya sendiri, Bersatu, hanya sembilan daripada 202 ketua bahagian merupakan wanita. Angka ini tidak sampai lima peratus, tetapi katanya, “bagi sebuah parti yang baru berusia lapan tahun, ini satu pencapaian penting.”

“Saya tidak pasti berapa jumlahnya dalam Umno, tetapi bagi Bersatu, ini langkah ke hadapan yang besar dari sudut meritokrasi dan strategi politik,” tambahnya.

Mas Ermieyati berharap integriti, ketabahan dan perubahan bermakna menjadi legasinya.

“Saya ingin menjadi inspirasi kepada anak-anak saya agar memimpin dengan ihsan dan keberanian,” kata ibu kepada lima cahaya mata itu.

“Dari segi profesional pula, saya mahu membina budaya politik yang lebih bersih, lebih bertanggungjawab, serta benar-benar memberi khidmat kepada rakyat.”

“Kepimpinan itu sementara, tetapi kesan yang kita tinggalkan haruslah berpanjangan untuk generasi akan datang,” katanya.

[Baca laporan asal]


MALAYSIANSKINI adalah siri artikel mengenai rakyat Malaysia yang memberi inspirasi.

Pada bulan Mac, kami akan menyiarkan wawancara dengan para wanita terkemuka di Malaysia, melalui siri Wanita Di Hadapan sempena Hari Wanita Antarabangsa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS