Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung satu rakaman audio melibatkan seorang guru yang didakwa menyuruh seorang pelajar sekolah menengah “boleh balik ke China” kerana tidak memahami bahasa Melayu.
KPM menegaskan pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kenyataan atau tindakan berunsur perkauman dalam ekosistem pendidikan negara.
“Satu pertemuan dengan ibu bapa pelajar terlibat juga telah dirancang untuk mencari penyelesaian. Khidmat sokongan psikososial turut disediakan.
“KPM melaksanakan pelbagai program latihan khusus untuk meningkatkan profesionalisme, kompetensi dan etika keguruan. Ini termasuk latihan pedagogi yang turut merangkumi aspek komunikasi dalam bilik darjah,” kata jurucakap KPM seperti dilapor FMT.
Terdahulu, satu rakaman audio tular memaparkan panggilan telefon seorang lelaki – yang mendakwa dirinya sebagai saudara kepada pelajar terbabit - kepada guru berkenaan.
Guru itu mengaku mengeluarkan kenyataan “boleh balik ke China” kepada pelajar berkenaan, selepas diminta pengesahan daripada lelaki terbabit.
Malah, dia turut dikatakan melabelkan pelajar tersebut sebagai “bodoh” dan menyuruhnya “duduk dekat tong sampah”.
Difahamkan, tindakan sedemikian bukan kali pertama dilakukan guru berkenaan, namun tiada sebarang aduan rasmi dibuat terhadapnya sebelum ini.
Guru itu juga berkata adalah satu masalah besar jika ibu bapa pelajar itu tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu.
Menurut rakaman sama, guru terbabit mengancam akan membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana lelaki yang menghubunginya enggan mendedahkan identiti dan dianggap menceroboh privasinya.
Guru itu juga mendakwa sedang bercuti sakit dan mengatakan suaminya bersama pihak polis boleh mengesan nombor telefon lelaki berkenaan.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, jurucakap KPM menegaskan institusi pendidikan kerajaan perlu menjadi ruang yang selamat, inklusif dan menghormati kepelbagaian bangsa, agama serta latar belakang pelajar.