Timbalan Presiden MIC M Saravanan akan menjawab dakwaan terhadapnya berkaitan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, esok.
Ia tengah-tengah perdebatan hangat mengenai kuil tersebut – yang dikatakan mempunyai sejarah sejak 130 tahun lalu – dan rancangan untuk memindahkannya bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.
Dalam kenyataan yang diterbitkan di laman berita bahasa Tamil Nambikai, Saravanan berkata terdapat dakwaan tidak benar bahawa tanah itu dijual ketika dia menjadi timbalan menteri wilayah persekutuan dari 2008 hingga 2013.
“Dikatakan bahawa MIC telah melakukan kesilapan dalam hal ini.
“Khususnya, mereka mula menyebarkan maklumat palsu bahawa tanah itu dijual ketika saya menjadi timbalan menteri,” katanya.
Menurut Saravanan, ketika kuil itu berkemungkinan dirobohkan pada 2006, MIC telah bertindak untuk melindunginya.

Kemudian, katanya lagi, apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meminta agar kuil itu dipindahkan ke lokasi berdekatan, ia telah dibina semula dan dirasmikan pada 2008 dengan sokongan daripada presiden MIC ketika itu, S Samy Vellu.
Kata Saravanan lagi, tanah yang menempatkan kuil itu hanya dijual kemudian.
Menurut Lawyers for Liberty (LFL), yang mewakili kuil tersebut, tanah itu telah dijual kepada Jakel Group pada 2014.
Jakel merancang untuk membina sebuah masjid di atas tanah itu, dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual akan merasmikannya minggu depan.
Namun, syarikat tersebut dan DBKL telah memberi jaminan bahawa tiada sebarang kerja akan dijalankan sehingga penyelesaian yang baik dicapai dan kuil itu dipindahkan.