Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek sekali lagi mencadangkan supaya Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur dikekalkan di lokasi sedia ada, manakala masjid yang baru dibina di atas tapak kosong bersebelahan.
Zaid yang mencetuskan idea tersebut semasa sidang media pada 20 Mac lalu, mengulangi gesaannya itu sebagai respon terhadap kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam yang dilaporkan berkata masjid tersebut akan dibina di tapak berkenaan, manakala tapak kuil akan diganti baru.
“Kami katakan penyelesaiannya ialah biarkan kuil kekal di situ dan bina masjid di atas tanah kosong bersebelahan.
“Semua rakyat Malaysia yang rasional akan menyokong perkara ini.
“Jika Anwar mendakwa dirinya sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, maka inilah penyelesaian yang sepatutnya disokong,” tegas Zaid hari ini.
Zaid juga mendakwa kenyataan Anwar itu seolah-olah merupakan kata dua kepada pihak kuil sebelum perbincangan yang sedang berlangsung diselesaikan.
Anwar semalam menggesa semua pihak supaya tidak membangkitkan sentimen agama dan membiarkan rundingan diteruskan, sambil menyatakan dia tetap akan melancarkan pembinaan masjid tersebut minggu depan.
Dia turut menyatakan kuil itu didirikan secara haram di atas tanah tersebut, namun pemilik tanah iaitu Jakel Trading Sdn Bhd menawarkan bantuan demi menjaga keharmonian, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencari tapak alternatif bagi kuil tersebut.
Pun begitu, Zaid mempersoalkan tindakan Anwar yang dilihat tergesa-gesa melancarkan pembinaan masjid tersebut sedangkan rundingan masih berjalan antara pihak-pihak yang terlibat.
Dia juga membidas kenyataan Anwar mengenai status “tidak sah” kuil tersebut, sambil mengingatkan struktur kuil itu telah dipindahkan ke lokasi sekarang pada tahun
2008 atas arahan DBKL.
“Melabelkan sebuah rumah ibadat yang telah berkhidmat kepada masyarakat setempat selama lebih satu abad sebagai ‘tidak sah’ adalah satu penghinaan besar kepada para penganut kuil dan komuniti Hindu secara umum, dan mencerminkan kekurangan rasa hormat yang mengejutkan dari seorang perdana menteri yang sedang berkhidmat,” kata Zaid.
Selain itu, dia berkata tanah berkenaan — Lot 328 Seksyen 40, Jalan Bunus Enam, Off Jalan Masjid India — bukanlah milik syarikat swasta sebelum ia dijual oleh DBKL pada tahun 2014.
“Anwar, DBKL dan pemimpin kerajaan mesti berhenti memberi gambaran palsu bahawa kuil tersebut dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik persendirian,” tegasnya.
Membidas kenyataan Anwar yang mengatakan sebagai perdana menteri, dia tidak boleh membayangkan mana-mana kuil dirobohkan, Zaid menegaskan sebarang pemindahan tetap akan melibatkan kerja-kerja perobohan.
Selain LFL, Timbalan Presiden PSM, S Arutchelvan semalam turut mengemukakan cadangan serupa agar rumah ibadat itu dibina bersebelahan.
DBKL dan pihak Jakel setakat ini memberi jaminan bahawa tiada perobohan akan dilakukan selagi kuil belum dipindahkan.