Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan bertanding pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning yang akan datang, menurut Timbalan Presidennya S Arutchelvan.
Arutchelvan berkata mesyuarat Jawatankuasa Pusat PSM malam tadi memutuskan untuk menyokong keputusan PSM Perak bagi meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Dia turut memaklumkan calon yang dipilih parti akan diumumkan pada 8 April ini, menjelang hari penamaan calon pada 12 April.
“Meletakkan calon alternatif ketiga dalam persaingan antara dua gabungan besar merupakan keputusan yang sukar, kerana sistem undian first-past-the-post memberi kelebihan kepada dua parti utama yang bertanding,” kata Arutchelvan dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, jelasnya tindakan PSM itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya parti itu pernah bertanding di kerusi yang sama pada pilihan raya umum lalu.
Calon PSM Bawani KS memperoleh 586 undi, berada di kedudukan keempat dan hilang wang deposit dalam pertandingan lima penjuru PRU15.
"Penyertaan PSM dalam PRK ini boleh menjadi ukuran terhadap tahap sokongan rakyat kepada parti—sama ada meningkat atau menurun," jelas Arutchelvan lagi, sambil menambah parti itu menawarkan alternatif kepada dua pilihan utama yang mewakili kerajaan dan pembangkang.
"Pertandingan antara Umno-BN dan PAS-PN dijangka membawa sentimen perkauman, sejajar dengan strategi kedua-dua parti untuk meraih sokongan tanpa menghiraukan keharmonian masyarakat majmuk.

"Oleh itu, PSM menawarkan alternatif kepada semua pihak yang memahami perjuangan darjat ekonomi pekerja—satu elemen penting bagi mereka yang mencari pilihan ketiga," tegasnya.
Dia turut menyatakan antara lain, PSM akan terus membawa naratif yang melangkaui isu perkauman, dengan memberi perhatian terhadap isu utama seperti kos sara hidup, kesihatan, hak pekerja dan petani, isu alam sekitar, serta masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli dan rakyat biasa.
Hari mengundi bagi PRK Ayer Kuning dijadual berlangsung pada 26 April manakala pengundian awal pula akan diadakan pada 22 April.