Kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM1.836 bilion sebagai Perbelanjaan pembangunan di Terengganu bagi tahun ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perbelanjaan di bawah Belanjawan 2025 itu meningkat berbanding yang telah diperuntukkan pada 2024 iaitu sebanyak RM1.597 bilion.
“Peruntukan ini menunjukkan terdapat pertambahan sebanyak RM239 juta berbanding peruntukan tahun 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Terengganu di pekarangan Masjid Sultan Ahmad di Chukai, Kemaman hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan kepimpinan negeri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata berdasarkan data Sistem MyProjek setakat 10 Mac lepas, sebanyak 432 projek telah diluluskan di Terengganu.
Selain itu, Perdana menteri berkata sebanyak 1,363 projek di seluruh negara telah siap dengan kos keseluruhan RM60.10 bilion dan daripada jumlah itu, 83 adalah di Terengganu yang menelan belanja RM1.826 bilion.
Anwar juga berkata kerajaan telah memperuntukkan RM2.243 bilion bagi pelbagai projek tebatan banjir dan pemuliharaan muara sungai atau hakisan pantai di Terengganu.
"Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar peruntukan terdiri daripada projek pemuliharaan muara sungai dengan nilai keseluruhan RM999.86 juta.
“Selebihnya merupakan projek-projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir sebanyak RM581.39 juta serta Projek Loji Rawatan Kumbahan dan Rangkaian Paip Pembetungan bernilai RM662.26 juta,” katanya.
Anwar berkata segala projek tersebut dapat dilaksanakan kerana hubungan baik yang terjalin antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri selama ini.
-Bernama