Veteran Umno Tengku Razeligh Hamzah menggesa kerajaan agar membuat pindaan ke atas Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dicadangkan, bagi memastikan orang Melayu tidak terusir dari bandar.
Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li berkata, berdasarkan penelitiannya URA di tahap sekarang akan meminggirkan orang Melayu yang menetap di bandar.
Ini kerana pelaksanaan URA akan mengakibatkan peningkatan kos yang akhirnya menyebabkan orang Melayu dan golongan miskin terpaksa berhijrah ke luar bandar, katanya.
"Cukai bandar akan naik, cukai taksiran akan naik dan orang yang berpendapatan tak banyak sudah tentu tak dapat nak melayan ataupun memenuhi tuntutan masyarakat bandar.
"Jadi, mungkin terpaksa pindah ataupun jual rumahnya ataupun berhenti menyewa agar dapat berpindah kepada tempat yang murah, yang lebih padan dengan pendapatan. Akhirnya mereka akan keluar dari bandar.
"...Jadi saya tak fikir orang Melayu mampu. Dengan sendirinya, perbuatan ini (URA) akan mengusir orang Melayu dari tempat mereka tinggal," katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Kuala Lumpur, hari ini.
Justeru, katanya, pindaan perlu dilakukan berkaitan beberapa aspek sebelum dia bersetuju dengannya.
"Umpamanya, tidak akan berlaku perubahan kepada penilaian kawasan-kawasan yang dimajukan oleh pemaju ataupun kerajaan," katanya lagi.
Turut hadir adalah Presiden Putra Ibrahim Ali.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim beberapa kali menyatakan yang URA tidak akan menyebabkan orang Melayu terpinggir dalam apa jua bentuk.
Anwar juga berkata pemilik asal yang terjejas akan mampu untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui semula itu.
Katanya, tidak seperti sekarang yang pampasan berdasarkan nilai hartanah semasa, pemilik terjejas akan mendapat pampasan berdasarkan nilai hartanah berdasarkan masa hadapan.
Dalam isu berasingan, Tengku Razaleigh bersetuju dengan cadangan agar jawatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal.
Katanya, banyak negara maju di dunia ini telah mengamalkan had tersebut bagi memantapkan pentadbiran.
Ia juga dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai politik.
"Kalau mereka mempunyai potensi memimpin, kenapa tidak? Beri ruang mereka keluar dengan idea baru supaya selari dengan perkembangan yang berlaku di sekeliling dunia," katanya lagi.