Ahli akademik Ahmet T Kuru menyelar Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) kerana mengesyorkan pengharaman dua bukunya.
Dalam catatan Facebook hari ini, Kuru mendakwa tindakan itu hanya membuktikan hujahnya bahawa "perikatan ulama-negara adalah anti-intelek dan menyekat pemikiran kritis".
"Adalah penting untuk membenarkan pertandingan idea yang pelbagai. Mengharamkan perdebatan sedemikian berisiko memupuk autoritarianisme dan menyekat pembangunan intelektual, seperti yang ditekankan dalam buku saya," tambahnya.
Dia juga mempersoalkan sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mematuhi permohonan Jawatankuasa Muzakarah untuk mengharamkan buku berkenaan
"(Kementerian Dalam Negeri) tidak sepatutnya (membenarkan pengharaman itu). Sebaliknya, mereka harus menegakkan kebebasan akademik, yang akan memberi manfaat kepada kemajuan intelektual dan reputasi global Malaysia," kata Kuru.
Awal hari ini, dilaporkan MKI bersetuju dengan pengharaman yang dikeluarkan KDN terhadap 12 buku yang dianggap berbahaya kepada umat Islam di negara ini.
Dua buku karangan Kuru - Perikatan Ulama Negara Punca Autoritarianisme dan Kemunduran Dunia Muslim (2022) dan Islam, Autoritarianisme dan Kemunduran Bangsa (2024) - antara yang diharamkan.
Pengerusi MKI Nooh Gadot dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua 12 buku itu boleh mengelirukan umat Islam di negara ini kerana ia mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (AI-Asya’irah AI- Maturidiyyah) serta hukum dan akhlak syariah.
Nooh turut mengingatkan semua umat Islam bahawa dilarang memiliki, mencetak, menjual, serta berkongsi mana-mana bahagian kandungan buku tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, Kuru menafikan dakwaan jawatankuasa itu, dengan berkata: "Tuduhan mereka adalah palsu sama sekali. Buku saya tidak bercanggah dengan Islam Sunni - ia adalah karya akademik dalam bidang sains sosial, bukan teologi."
Karya lain yang diharamkan oleh MKI ialah The Goal of The Wise oleh Abdullah Hashem Aba al-Sadiq (2022), Memahami dan Menyingkap Tradisi Tuhan – Kebangkitan yang Dibenci tetapi Dirindui oleh Ahmad Mesiyyakh (2022) dan Manusia Sebelum Adam oleh Luqmanul Hakim Abdul Razak (2023).
Tajuk lain ialah Golongan Muslim Pertama, Sejarah dan Memori oleh Asma Afsaruddin (2018), Duhai Hati – Menarilah Bersamaku oleh Ismail Ariffin @ Lepat (2023) dan Penemuan Terbaru Akidah Bersanad Imam AI-Shafi’I oleh Sadr al-Din Abu al-Wafa’ Sulayman bin Yusuf al-Tasufi (2024).
Penulis dan tahun penerbitan tiga buku - Suhuf Abraham, Suka Duka Perjalanan Dhul Qarnain dan Jalan Kebenaran Universal - tidak dikenal pasti.